Afdlin Shauki saran pengarah muda sertai komuniti PFM

Bernama
Julai 31, 2024 09:10 MYT
Afdlin berkata, PFM mampu menjadi wadah untuk menimba ilmu berkenaan kaedah yang tepat menghasilkan filem, daripada mereka yang lebih berpengalaman. - Instagram
KUALA LUMPUR: Lebih ramai pengarah muda yang baru berjinak-jinak menghasilkan filem disaran agar menyertai komuniti Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bagi sama-sama membantu memperhalusi dan memantapkan karya tempatan.
Datuk Afdlin Shauki yang juga pengarah terkenal dan baru dilantik sebagai profesor adjung di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Jun lepas berkata, PFM mampu menjadi wadah untuk bertukar-tukar pandangan dan menimba ilmu berkenaan kaedah yang tepat menghasilkan filem, daripada mereka yang lebih berpengalaman.
"Sejujurnya saya seronok tengok banyak idea baru daripada pengarah muda sebab banyak idea segar dihasilkan dan secara tidak sedar mencabar pengarah yang lama dalam bidang ini untuk berfikiran lebih terbuka.
"Cuma pengarah muda kena belajar pengalaman daripada pengarah lama bagaimana menyiapkan filem, dengan menyertai persatuan supaya dapat berkawan dengan pengarah-pengarah lain kerana tiada orang boleh pandai dengan sendirinya," katanya kepada Bernama, dengan menambah beliau tidak menggalakkan pembelajaran melalui YouTube yang dirasakan tidak sesuai dengan cara kerja di negara ini.
Afdlin yang juga Pengerusi Pengarah Filem Malaysia (FDAM) berkata, pembikin filem juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu teori asas berkenaan bidang berkenaan yang mana ia penting dan mampu menyumbang kepada kejayaan sesebuah karya.
Pelakon dan pengarah filem pecah panggung Papadom itu juga berpandangan aspek teori asas sering dipandang ringan oleh pendatang baharu sehingga akhirnya mendatangkan kesan hasil karya.
"Kalau mereka berpelajaran dan berpengalaman, mereka akan dapat buat produk yang bagus, sebab ada segelintir mereka mempunyai idea bernas tetapi tidak tahu nilai serta selok-belok pembikinan secara menyeluruh yang baik, jadi mengambil jalan untuk tembak sahaja mana mereka rasa sesuai.
"Sebab masalah dia, bila semua orang ingat mereka boleh jadi pengarah, penerbit. Dia nak gelaran penerbit atau pengarah itu tetapi tidak tahu skop kerja kerana mahukan gelaran semata-mata. Ia bukan setakat mengarah orang kerana anda perlu faham tentang bahasa cinema, maksud pergerakan kamera dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA
#pengarah muda #filem #persatian penerbait filem #Afdlin Shauki