AF: Saya bukannya kejam tak bagi Firman hadiah! - Wak Doyok

Astro Awani
Oktober 28, 2014 11:09 MYT
Tindakan Wak Doyok (kiri) yang menyampaikan hadiah daripada jenama 'The Garment Movement' itu telah mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak.
Ikon fesyen terkenal Wak Doyok dikecam hebat gara-gara pemberian hadiahnya kepada empat pelajar lelaki kecuali Firman di konsert suku akhir Akademi Fantasia yang berlangsung pada Ahad.
Tindakan Wak Doyok yang menyampaikan hadiah daripada jenama 'The Garment Movement' itu telah mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang rata-ratanya menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap.
Wak Doyok bagaimanapun ketika dihubungi Astro Gempak memberitahu perkara yang terjadi itu hanyalah sekadar gimik #AF2014 dan akan kembali memberikan kejutan buat Firman di dalam Diari AF.
“Sebenarnya kami semua nak buat gimik kepada Firman... Kalau mereka semua perasan dalam video yang disiarkan semasa konsert itu ada menyebut saya akan kembali.
“Jadi saya dah sediakan sesuatu yang istimewa untuk Firman… Saya bukannya kejam tak nak bagi Firman hadiah sedangkan yang lain dapat,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Wak Doyok atau nama sebenarnya Tengku Muhammad Azwan Shah, dia memilih pelajar dari Sabah itu untuk diberikan hadiah istimewa kerana perjalanan hidup Firman mengingatkan tentang dirinya suatu ketika dahulu.
“Saya lihat Firman ini seorang yang istimewa, bakat dan minat dia dalam bidang nyanyian serta sentiasa berusaha bersungguh-sungguh.
“Saya juga bukanlah datang dari keluarga yang senang, jadi saya faham apa yang dilalui oleh Firman dan sebab itu saya tergerak hati untuk membantu Firman,” jelasnya pendek.
Dalam pada itu, Wak Doyok mengakui tidak ada sedikit pun perasaan marah mahupun kecil hati dengan sikap sesetengah pihak yang membuat tuduhan melulu tanpa mengetahu hal yang sebenar.
“Sebelum ini saya sebenarnya dah agak perkara ini akan jadi isu dan pastinya mengundang kemarahan orang… Tetapi saya dah bersedia dan pihak AF juga mahukan yang sebegini.
“Tak apalah… Nak buat macam mana benda dah berlaku dan saya sedikit pun tidak terasa marah terhadap orang yang mengutuk mahupun mengeluarkan kata-kata kesat di laman sosial saya.
“Mungkin mereka tidak mengetahui hal yang sebenar ataupun tidak perasan dengan maksud video yang ditayangkan semasa konsert tersebut.
“Cuma saya nak pesan, kita ini janganlah terlalu cepat menghukum orang sekiranya tidak mengetahui isu yang sebenar kerana ia melambangkan 'atitude' yang rendah.” jelasnya.
Wak Doyok juga memohon supaya peminat Firman jangan khuatir kerana dia sudah menyediakan satu hadiah istimewa kepada Firman dan akan disiarkan semasa Diari AF nanti. -- Astro Gempak
##AF2014 #Akademi Fantasia #Firman #Wak Doyok
;