Aepul Roza akui tumpang publisiti, populariti libatkan kontroversi artis
Gempak
Mei 12, 2024 18:53 MYT
Mei 12, 2024 18:53 MYT
TAMPIL dengan lagu ILU, vokalis Drama Band iaitu Aepul Roza tidak menafikan dia turut menumpang publisiti di sebalik kontroversi rumah tangga yang menjadi bualan hangat ketika ini.
Cipta Lagu Dalam Satu Malam
Jelas Aepul, langkah yang diambil tepat dengan situasi yang menggemparkan industri seni tempatan jika memandang dari aspek perniagaan dan bisnes.
“Saya mencipta lagu ILU dalam tempoh satu malam saja. Tidak sukar kerana bait-bait kata dan sebagainya berada di sekeliling kita. Jadi tidaklah mengambil masa yang lama.
“Malah, sudah lama juga saya tidak menulis lagu yang ideanya datang secara tiba-tiba. Dari sudut perniagaan, tumpang publisiti dan sebagainya itu saya tak nafikan.
“Dari segi undang-undang, tidaklah tepat seperti situasi yang sedang berlaku cuma sipi-sipi saja kerana selebihnya terpulang kepada pendengar untuk membuat kesimpulan mereka sendiri.
“Kebanyakan karya saya sebegitu yang mana saya sediakan bahan-bahan masakan dan rempah ratus selebihnya hasil masakan itu dibuat oleh pendengar sendiri,” kata Aepul.
Menerusi perkongsian di TikTok, lirik lagu yang disampaikan oleh Aepul juga sangat bersahaja sekali gus mencuri perhatian pendengar.
Lebih mencuit hati, Aepul turut menyelitkan akronim yang digunakan oleh Aliff Aziz dan Ruhainies menerusi perbualan mereka di WhatsApp yang didedahkan oleh Sarah Yasmine, baru-baru ini.
Untuk Peringatan Sendiri
Tampil dengan lirik yang pedas, Aepul menjelaskan lagu berkenaan dihasilkan sebagai peringatan buat diri sendiri.
“Salah satu sebab mengapa saya menghasilkan lagu ini kerana sebagai teguran buat saya sendiri juga. Sebelum-sebelum ini juga Drama Band pernah menghasilkan lagu yang berkarakter begini.
“Sejak pada itu, saya menganggap lagu yang dihasilkan sebagai pesanan buat diri sendiri juga. Kita hendak menegur orang, pastikan tangan kita bersih.
“Jadi apabila timbul perkara sebegini, seperti peraturan supaya saya ‘improve’ dan jaga diri saya supaya tidak kena batang hidung sendiri serta menjadi lagu orang lain pula,” kata Aepul.
Kongsi Aepul lagi, dia dan kumpulannya merencana untuk tampil dengan lagu berjudul FYP yang menegur segelintir sikap pempengaruh media sosial, namun menangguhkan hasrat itu.
Jelas Aepul, single ILU didahulukan kerana lirik dan melodinya bersesuaian dengan kes curang yang mendapat perhatian ramai.
Aepul adalah salah seorang peserta 'The Hardest Singing Show' yang akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur selama 10 minggu bermula 12 Mei 2024, setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104).
Rancangan ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box, aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Persiapan persembahan setiap peserta akan dipaparkan menerusi Studio The Hardest Singing Show dan segala telatah di balik tabir, perbincangan, latihan di pentas utama dapat di saksikan di BTS The Hardest Singing Show yang dihoskan oleh Ceddy Ng selama 30 minit setiap minggu, dibawakan istimewa kepada para penonton dan peminat.
Xtended The Hardest Singing Show bakal bersiaran secara langsung sejurus selepas konsert utama, pada jam 11.30 malam, setiap Ahad yang akan dihoskan oleh 3 Pagi ERA iaitu Nabil Ahmad, Radin & Azad Jazmin. -Gempak