Adira Suhaimi nafi diceraikan Datuk Red
Gempak
Ogos 9, 2019 14:00 MYT
Ogos 9, 2019 14:00 MYT
PENYANYI Adira Suhaimi mengakui enggan melayan gosip yang tersebar yang mendakwa dia diceraikan suami, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red ketika sedang sarat mengandung.
Memetik laporan Harian Metro, Adira yang baru melahirkan anak ketiga semalam turut menafikan dia wanita yang berada dalam kamar mahkamah seperti didakwa.
“Saya ada dengar cerita ini dan ramai juga yang menyebut nama saya. Walaupun gosip itu tidak menyatakan siapa artis wanita itu, tapi ramai yang membuat spekulasi ia adalah saya.
“Saya sebenarnya malas nak bercakap perkara sama berulang kali terutama gosip remeh dan berita yang sengaja direka untuk melemahkan saya. Dari dulu sampai sekarang, saya takkan layan dan buat tak tahu saja.
“Saya tidak mahu memeningkan kepala memikirkan perkara yang tak betul. Biarlah orang nak cakap apa, yang penting saya dan suami tahu kebenarannya,” katanya.
Bagaimanapun, Adira mengakui sepanjang berkahwin, hubungan dengan suami memang ada pasang surutnya.
“Tipulah kalau sepanjang berkahwin tak pernah gaduh dan berselisih pendapat. Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
“Bagi saya, ia perkara biasa dalam perkahwinan dan dilalui oleh semua pasangan. Cuma, dalam kes saya tidaklah sampai nak bercerai berai.
“Suami masih menjalankan tanggungjawabnya. Paling penting sekarang, saya mahu fokus pada anak yang baru lahir, diri dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, suami Adira yang lebih dikenali sebagai Datuk Red berkata, spekulasi yang timbul itu adalah mengarut.
“Saya bersumpah dengan nama Allah, saya tidak buat perkara itu. Sangat terkejut degan apa yang diperkatakan. Saya masih waras untuk buat semua ini.
“Selagi saya ada kudrat dan bernyawa, saya akan terus menjaganya dengan anak-anak,” katanya.
Adira merupakan isteri kedua Datuk Red dan pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Anggrek pada 10 Mac 2017 dan Asan pada 9 September 2018.
Sumber: Harian Metro
#Adira nafi bercerai
#Adira Suhaimi
#anak ketiga
#Datuk Red
#Datuk Seri Adnan Abu
#isteri kedua
#penyanyi
#perkahwinan