Adira nekad berpisah, suami terpaksa reda
Gempak
Mac 5, 2024 11:00 MYT
Mac 5, 2024 11:00 MYT
SUAMI kepada penyanyi Adira iaitu Datuk Seri Adnan atau Datuk Red memberitahu. dia sebolehnya enggan bercerai dengan isterinya memandangkan mereka sudah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun. '
Adnan ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang berkata, dia sudah berusaha untuk memujuk isterinya namun perpisahan juga menjadi kata putus.
“Saya kahwin lapan tahun lalu bukan untuk cerai, anak pun dah empat. Orang lain boleh cakap apa nak cakap, sebab mereka tak lalui. Saya fikir ini pengorbanan saya ini bukan untuk saya tapi untuk anak-anak.
“Bila mereka tonton video ini, saya berkorban semua ini untuk mereka. Pujuk memujuk itu biasa la memang ada. Tapi perempuan ini kalau marah macam itu. Saya dah cuba tapi bila dah sampai tahap begini, sudah habis berusaha,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Adnan menganggap apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka merupakan balasan atas perbuatannya yang lampau.
“Mungkin ini bukan dugaan saya tapi balasan terhadap apa yang saya lakukan dahulu. Sebab itu sekarang saya tak ada sosial media dan hanya fokus pada keluarga.
“Dah ditakdirkan begitu, saya terima saja. Tapi selagi saya bernafas, saya akan berjuang untuk keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Adira memohon doa agar proses perceraian mereka dapat diselesaikan dengan cepat.
“Semoga yang baik-baik saja, dan dapat selesai dengan cepat,” kata Adira yang nekad untuk bercerai.
Adira hadir ditemani peguam syarie iaitu Nor Saidah Zakaria.
Hari ini merupakan keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Adira dan suaminya berhubung proses penceraian mereka.
Datuk Red telah melantik sahabat baik sendiri sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) manakala Adira selaku plaintif telah melantik kakaknya, Emma Suhaimi untuk prosiding berkenaan.
Dalam proses itu wakil pihak masing-masing akan memberi nasihat untuk mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.
Terdahulu, pada 25 Oktober tahun lalu, Adira telah memfailkan penceraian ke atas suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.
Untuk rekod, sebelum ini Adira pernah memfailkan penceraian pada tahun 2019 namun menarik semula permohonan itu demi anak-anak.
Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun. - Gempak
#Adira nekad berpisah
#Datuk Red
#Adira isteri kedua Datuk Red
#Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat