Adik Jamal Abdillah meninggal dunia

Saharudin Musthafa
Julai 2, 2019 21:02 MYT
Jamal memohon semua ahli keluarga atau kenalan adiknya agar dapat sama-sama mendoakan kesejahteraan Allahyarham adiknya. - Gambar fail
PENYANYI ternama tanah air, Datuk Jamal Abdillah kehilangan adiknya, Ahmad Tihami atau lebih dikenali dengan panggilan Hamka yang meninggal dunia pada pukul 7.20 petang Selasa.
Menurut penghibur tersohor itu, Allahyarham Hamka menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur akibat sakit jantung.
Pemergian Hamka, kata Jamal, merupakan berita yang amat mendukacitakan beliau sekeluarga, namun mereka reda terima ketentuan Allah.
"Allahyarham adik saya mendapat sakit jantung sejak beberapa bulan lalu dan dirawat di IJN sehinggalah keadaannya kritikal sebelum meninggal dunia," kata Jamal kepada Astro AWANI.
Jenazah Allahyarham Hamka, ujarnya, akan dikebumikan di Kulim, Kedah, pada Rabu.
Sehubungan itu, Jamal memohon semua ahli keluarga atau kenalan adiknya agar dapat sama-sama mendoakan kesejahteraan Allahyarham adiknya yang juga anak keenam daripada tujuh beradik.
#adik #Ahmad Tihami #IJN #jamal abdillah #Kedah #meninggal dunia #sakit jantung
;