Adik ipar sah Hafidz Roshdi lafaz cerai talak satu melalui panggilan telefon
Astro Awani
Februari 23, 2023 21:40 MYT
Februari 23, 2023 21:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon Hafidz Roshdi didakwa sudah melafazkan cerai terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Memetik laporan Mstar, perkara itu disahkan adik Nurul Shuhada, yang dikenali sebagai Sofia, 25, yang memaklumkan Hafidz melafazkan cerai itu menerusi panggilan telefon di hadapan ahli keluarganya.
Menurutnya, keputusan untuk berpisah itu dicapai kedua-dua belah pihak keluarga.
"Memang betul, Hafidz dah lafazkan cerai talak satu kepada kakak saya melalui telefon di hadapan semua ahli keluarga masing-masing," katanya di sini pada Khamis.
Menurut laporan berkenaan, Hafidz ketika itu berada di Shah Alam sementara Nurul Shuhada dan keluarganya berada di Perlis
"Insya-Allah Shuhada akan failkan cerai di mahkamah di Kuala Lumpur nanti. Kami sedang bercakap dengan peguam untuk tarikh perbicaraan sebab ia masih dalam proses," katanya lagi.
Sementara itu Harian Metro pula melaporkan, permohonan perceraian itu akan difailkan pada 1 Mac ini, yang juga jatuh pada tarikh kelahiran Nurul Shuhada.
Kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendedahkan pelakon itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Kemudian muncul pula wanita bernama Athira Yuhada yang mengakui Hafidz pernah cuba mendekatinya sejak sembilan tahun lalu.
Bagaimanapun, Athira mengakui kesilapan itu dan memohon maaf kepada Nurul Shuhada kerana sudah mengganggu kebahagiaan rumah tangga mereka.
Namun, Nurul Shuhada dalam perkongsiannya di laman Instagram pula memberitahu dia boleh memaafkan tapi tidak akan melupakan apa yang sudah berlaku.
Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2.