Adik Aufahanie rupanya yang tular menari sakan, akui memang hyperaktif

Gempak
Julai 11, 2023 10:30 MYT
Aufahanie tidak terkejut dengan berita berkenaan memandangkan sudah azalinya kenal dengan sikap adik perempuannya itu yang gemar menari. - Gempak
PENYANYI Aufahanie tidak mengetahui kisah tular membabitkan adik perempuannya yang menari ketika pra-konsert semi final Big Stage 5 minggu lalu sehinggalah dimaklumkan kenalannya.
Jelas Aufahanie, 20, dia tidak terkejut dengan berita berkenaan memandangkan sudah azalinya kenal dengan sikap adik perempuannya itu yang gemar menari.
"Untuk semua yang tak tahu, sebenarnya adik saya merupakan lulusan dari Sekolah Seni Kuala Lumpur dan dia memang menari di sekolah. Untuk Big Stage pun jadi back up dancer juga. Itu jiwa dia. Berbeza dengan saya jiwa saya menyanyi, dan tak pandai sangat menari.
"Apabila dia menari, dia tak bertudung tapi di luar dia berhijab.
"Saya tak marah dia menari sebab dia sangat berbakat, malah lazimnya kami tujuh beradik terpegun setiap kali dia menari," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, adik perempuannya itu akan berada bersama kelab peminatnya sekiranya tidak terlibat dengan persembahan tarian di Big Stage.
"Sebenarnya setiap minggu dia akan menari di atas dalam kalangan kelab peminat. Mungkin pada malam itu, jiwa dia berkobar-kobarlah bila keluar lagu kegemarannya, itu yang menari sampailah tular.
"Jujurnya saya tak perasan apa yang berlaku, sampailah kawan saya yang hantarkan. Adik pun tak cakap apa, mungkin dia tak sedar kot.
"Lepas dah viral, saya cakap dia 'lagi beberapa hari hilanglah tu', sebab saya pun pernah berada dalam situasi sedemikian. Saya sendiri pernah dikecam sebelum ini," tambahnya.
Akui personaliti adik perempuannya seorang yang periang, menari bukan hal yang janggal bagi mereka sekeluarga.
"Saya dah biasa tengok dia menari, itu bukan sesuatu janggal bagi kami sekeluarga.
"Di luar pun dia hyperaktif, nak suruh dia berhenti menari pun saya terpaksa cakap berhenti," katanya.
Terdahulu, aksi tarian seorang remaja wanita berhijab di konsert Big Stage 5 mendapat teguran warganet, menyifatkan ia bukan perilaku yang manis dipandang. - Gempak
#Aufahanie #kisah tular #Big Stage 5 #menari
;