Adibah Noor kongsi pengalaman hidap Bell's palsy
Saharudin Musthafa
Disember 23, 2020 17:15 MYT
Disember 23, 2020 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak pernah terlintas di fikiran Adibah Noor akan berhadapan dengan situasi yang agak pelik sepanjang hidupnya.
Bibirnya tiba-tiba menebal dan apabila bercakap pula, sebutan huruf S dan P kedengaran amat pelik seolah-olah terdapat slanga.
Seingat Adibah juga, pada peringkat awal, matanya sangat gatal dan apabila menggosok gigi dan berkumur, air pula terpancut keluar dari mulut
Kelainan yang dirasakan itu membuatkan dia mula terfikir apa sebenarnya yang berlaku pada dirinya.
Belum cukup itu, setiap kali menjamah makanan pula, dia kerap mengigit bibirnya.
Pada awalnya, Adibah juga menenangkan dirinya dengan beranggapan tiada apa yang serius berlaku.
"Namun keesokannya, bibir naik sebelah, manakala sebelah lagi tidak apabila tersenyum. Memandangkan hari itu merupakan cuti hujung minggu, jadi saya buat keputusan untuk merujuk pada doktor pakar pada hari Isnin 30 November.
"Pemeriksaan doktor pakar mengesahkan saya mengalami penyakit Bell’s palsy. Hari itu juga saya dirujuk ke Jabatan Fisioterapi untuk rawatan susulan,” kata penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Didiagnos Bell’s palsy, bekas guru bahasa Inggeris itu berkata, tiada sebarang kesakitan yang dirasakan cuma perbezaan pada wajahnya sangat jelas kelihatan.
Kesan yang paling ketara, kata Adibah, 50, ialah, wajah sebelah kirinya jatuh akibat masalah saraf.
“Kata doktor ada kemungkinan Bell’s palsy berpunca akibat jangkitan virus. Punca kedua juga mungkin disebabkan kandungan gula dalam darah saya yang sangat tinggi, juga boleh menjadi sebab saya dijangkiti Bell’s palsy.
“Namun, saya bersyukur kerana mendapat rawatan awal. Sudah lebih sebulan saya menjalani fisioterapi serta makan ubat yang doktor beri, Alhamdulillah wajah saya semakin pulih,” kata Adibah.
Ekoran Bell’s palsy yang dihidapinya itu, Adibah nekad untuk tidak mengambil gula dalam sebarang makanan dan minuman kerana mahu kembali pulih seperti sedia kala.
“Doktor yakinkan saya boleh pulih dalam tempoh singkat menyebabkan saya nekad untuk melakukan rawatan fisioterapi setiap hari. Saya mahu cepat sembuh dan perlu kembali normal untuk kembali bekerja seperti biasa,” katanya.
Rawatan fisioterapi yang dijalaninya juga, kata Adibah, banyak membantu memulihkan wajahnya kembali seperti normal.
Antara rawatan yang dilakukan doktor ialah meletakkan botol panas pada muka.
“Stimulasi elektrik, urutan dan laser juga banyak membantu saya. Alhamdulillah, sekarang sudah banyak perubahan dirasakan sepanjang sebulan menjalani fisioterapi. Senyuman saya juga sudah kembali normal dan bibir sudah mula terangkat,” kata Adibah.
Ditanya apakah Bell’s palsy yang dihidapinya menyebabkan dia murung atau berasa sangat rendah diri, kata Adibah, apa yang dirasakannya sebaik disahkan mengidap penyakit itu ialah kecewa.
Kekecewaan itu, ujarnya, adalah kerana dia terikat dengan komitmen kerja yang sudah lama dipersetujuinya.
“Saya agak kecewa, tapi saya percaya ini semua adalah ketentuan, sesiapa pun tidak dapat mengelak daripada diuji dengan penyakit.
“Ketika disahkan Bell’s palsy, saya terikat dengan komitmen untuk penggambaran sebuah produk yang menggunakan wajah dan nama saya. Saya tidak murung, cuma risau apa yang saya alami akan membuatkan client tidak puas hati sebab wajah saya senget,” kata Adibah berkongsi pengalaman.
Bagaimanapun, jelasnya, beberapa cara digunakan untuk mengelakkan wajahnya yang senget itu berjaya ‘dilindungi’ sekali gus menjadikan kerja-kerja penggambaran berjalan lancar.
Kini, selepas lebih 30 hari menjalani rawatan intensif, Adibah sangat gembira dengan perubahan yang dialaminya serta berharap Bell’s palsy yang dihidapi itu akan segera berakhir.
#Adibah Noor
#Bell's palsy
#muka jatuh
#bibir bengkak
#menggigit bibir
#penyanyi
#Terlalu Istimewa
#stimulasi elektrik
#urutan
#laser