Adibah Noor hanya tahu hidap kanser tiga bulan lalu
Hasimi Muhamad
Jun 19, 2022 14:27 MYT
Jun 19, 2022 14:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kenalan rapat kepada Adibah Noor, Baki Zainal mendedahkan, Allahyarham hanya mengetahui mengenai penyakit kanser yang dihidapi sekitar tiga bulan lalu.
Menurut Baki atau nama sebenarnya Zahimin Baki Zainal, 41, penyanyi dan penghibur terkenal itu mengambil keputusan merahsiakan daripada pengetahuan umum kerana merasakan menjadi tanggungjawab sebagai anak seni dan khalifah, untuk hanya menyebarkan kebahagiaan dan kasih-sayang.
"Sebenarnya ia sangat secara tiba-tiba (Allahyarham Adibah tahu tentang penyakit)... dia sendiri pun tahu baru-baru ini. Dalam dua atau tiga bulan ini baru keluarga dan kawan-kawan rapat tahu.
"Ällahyarham amanahkan supaya jangan cerita. Macam saya cakap, kakak rasa tanggungjawab dia sebagai anak seni dan khalifah ialah untuk menyebarkan kebahagiaan dan kasih sayang.
"Dari situ dia tak nak orang sedih, tak nak orang tahu cerita macam ini dan itu adalah hak dia. Sebab itu kami semua menghormati hak dia," katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Taman Permai Keramat, di sini hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Perjalanan akhir Adibah Noor
Berkongsi lanjut, Baki berkata, dia sendiri pun terkejut sebaik mendapat tahu mengenai keadaan kesihatan pelantun lagu Terlalu Istimewa itu.
Ujarnya lagi, keadaan kesihatan Allahyarham dilihat semakin bertambah baik, namun, dia reda dengan pemergian artis kesayangan ramai itu.
"Kakak banyak beri pesanan dan saya fikir satu perkara yang saya mahu berkongsi dengan semua orang ialah tiada siapa perlu tahu betapa sukar dan susahnya apa yang kita lalui.
"Kerja kita (sebagai manusia) untuk buat orang senyum, untuk buat orang gembira. Dari situ, apa-apa kesukaran pun kita buat dulu dan paling penting kita ikhlas," tambahnya.
Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar, 51, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.45 malam Sabtu di sebuah hospital swasta di ibu negara akibat kanser ovari.
#Adibah Noor meninggal dunia
#Adibah Noor sakit kanser
#Perjalanan terakhir Adibah Noor
#Terlalu Istimewa