Adibah Noor, Fazley Yaakob sertai Gegar Vaganza 8, Syafinaz sebagai juri tetap

Astro Awani, Gempak
November 10, 2021 17:41 MYT
Aliff Aziz, Adibah Noor, Bandi Amuk, Nico serta Saiful dan Yassin akan memeriahkan Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) terbitan Astro yang akan menemui penonton bermula 21 November ini.
KUALA LUMPUR: Program realiti paling dinanti-nantikan, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) terbitan Astro kembali lagi.
Menariknya kali ini, bintang GV8 juga mewakili tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia yang pernah menempa nama di persada seni hiburan suatu ketika dahulu.
Kemampuan 13 bintang utama yang bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, lima penyanyi solo wanita dan dua penyertaan secara duo atau berkumpulan.
Enam bintang solo lelaki yang akan memberi saingan sengit untuk musim ini ialah Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan Aliff Aziz (Singapura).
Sementara itu, senarai penyanyi solo wanita yang menyahut cabaran untuk berentap dalam GV8 ialah Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia).
Musim ini juga turut meriah dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful Apek & Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.
Guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat sah sertai Datuk Ramli MS dan bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang sebagai juri tetap, sekali gus menyaksikan buat kali pertamanya penampilan tiga juri tetap.
Nabil Ahmad dan Jihan Muse juga kekal hos utama musim terbaharu.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad akui keampuhan populariti dan kredibiliti jenama ‘GV’ kini semakin matang.
“Mengimbas kembali perjalanan program ini sewaktu mula diperkenalkan sekitar tahun 2014, matlamat utama kami ialah untuk menyediakan platform penjenamaan semula bagi para penghibur berpengalaman yang pernah merasai era kegemilangan suatu ketika dahulu sekali gus membuka lembaran baharu dalam kembara seni mereka.
“Inisiatif yang dirintis telah berkembang dan terbukti berjaya meletakkan ‘GV’ sebagai pencetus fenomena sosial yang mempunyai kekuatan dan impak tersendiri untuk mempengaruhi kecenderungan peminat saban tahun.
“Persaingan 13 bintang dari tiga negara serumpun merupakan antara tarikan utama ‘GV8’ pada kali ini.
“Selain itu, kami turut melantik tiga juri tetap yang memiliki reputasi luar biasa dan cukup disegani di kalangan penggiat seni berbanding hanya dua orang sahaja sebelum ini.
“Ketiga-tiga mereka akan turut ditemani oleh seorang juri jemputan pada setiap minggu menjadikan proses penjurian musim ini akan lebih sukar dan mencabar,” jelasnya.
Penerbitan GV8 turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi.
Manakala Adabi dan CUCKOO pula selaku penaja bersama.
Gegar Vaganza akan disiarkan secara langsung di Astro Ria pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 November ini.
#Gegar Vaganza #Nyanyian #peserta #syafinaz selamat #Malaysia #Indonesia #Singapura #hiburan
;