Adibah Noor dari kaca mata Hetty Koes Endang

Hilmi Malik
Jun 19, 2022 16:24 MYT
Perkara yang akan sentiasa diingat Hetty mengenai Adibah Noor ialah penyanyi itu seorang yang ceria dan humor.
KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon serba boleh, Adibah Noor tidak pernah sesekali menunjukkan sebarang petanda menghidapi apa-apa penyakit sepanjang penyertaan Allahyarham bersama program realiti Gegar Vaganza.
Menceritakan keperibadian Adibah Noor, juri dan juga penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang berkata, sebaliknya, bintang itu hanya memaparkan sikap yang sentiasa ceria yang sememangnya sinonim dengan sosok tubuh berkenaan.
“Sebenarnya tidak ada sedikit pun yang curiga (keadaan Adibah) jadi kalau bersama teman-teman mungkin dia meluahkan apa yang ada dalam dirinya yang selalu gembira.
“Namun, tanpa kita sedar hatinya itu sedang menjerit menurut Bunda (panggilan buat dirinya) yang mungkin ada sesuatu yang memeritkan namun pada siapa patut dikongsikan perasaan itu,” kata Hetty dalam wawancara bersama Astro AWANI pada Ahad.
Mengulas lanjut, penghibur veteran itu secara peribadi amat kagum apabila melihat perubahan pada fizikal Allahyarham berdasarkan gambar yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.
Bagaimanapun, dalam satu sisi lain, Hety berpendapat, barangkali, perubahan mendadak Adibah itu menggambarkan keperitan selebriti itu selama ini yang menahan sakit.
Hetty yang juga juri tetap program hiburan popular, Gegar Vaganza terbitan Astro mengakui, hanya mula mengenali Adibah menerusi program berkenaan.
Ujarnya, mengenali penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu jelas menunjukkan wataknya yang sentiasa gembira dan disenangi dalam kalangan orang ramai.
Selain aktif sebagai penyanyi, Adibah juga dikenali sebagai pelakon.
Antara kerja seni Allahyarham Adibah yang kekal dalam ingatan ialah filem Sepet, Gubra dan Mukhsin arahan sutradara Yasmin Ahmad.
Adibah juga pernah membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen.
Sepanjang menjadi penyanyi, Allahyarham berkesempatan merakamkan dua buah album iaitu "Terlalu Istimewa" (2005) dan "Teman" (2010) selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.
Sepanjang hayatnya juga, Adibah dikenali sebagai individu yang senang mendekati pengikut dan peminatnya menerusi platform media sosial.
Allahyarham antara lain diingati sebagai figura umum yang suka mendidik berkaitan penguasaan bahasa Inggeris, selain berkongsi cerita seni persembahan dan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutamanya kucing.
Adibah menghembuskan nafas terkahir pada Sabtu malam di sebuah hospital swasta di ibu negara.
#Adibah Noor #Hetty Koes Endang #kanser ovari #Adibah Noor meninggal dunia
;