Adele sanggup berhenti menyanyi untuk sergah pengawal keselamatan
Gempak
Mac 21, 2017 21:36 MYT
Mac 21, 2017 21:36 MYT
PENYANYI Adele tiba-tiba berhenti menyanyi di pertengahan konsert dan menegur pengawal keselamatan yang menghalang peminatnya 'berseronok' ketika menyaksikan persembahannya.
Adele menyergah pengawal keselamatan tersebut yang meminta penonton konsert di Stadium Etihad, Melbourne untuk kekal duduk di tempat mereka.
Menerusi video yang dikongsi seorang penonton konsert itu, Adele telah menegur pengawal itu dan berkata apa guna mereka datang ke konsert jika tidak boleh berseronok?
"Maaf encik, saya tahu anda bekerja di sini tapi mana boleh suruh peminat duduk? Ini konsert!
"Peminat boleh berdiri jika mereka tidak nampak apa yang berlaku di atas pentas. Kalau nak bising sebab orang ramai berdiri, kenapa datang konsert?" tegur Adele kepada pengawal keselamatan tersebut.
Adele turut berkata bahawa dia tidak mahu lagi pengawal tersebut meminta mana-mana penonton untuk duduk dan biarkan mereka menikmati konsert tersebut dengan bebas.
Setelah penyanyi itu menegur pengawal keselamatan tersebut, penonton di dalam stadium bersorak bagi pihak Adele seakan terharu dengan sikap penyanyi itu yang prihatin terhadap peminatnya.
Selain itu, antara perkara pelik lain yang dilakukan oleh penyanyi tersebut ketika konsert itu berlangsung adalah dia telah menjemput pasangan kekasih untuk naik ke pentas dan menyanyi bersamanya.
Tindakan penyanyi itu telah mengejutkan kira-kira 77,000 orang penonton pada malam itu.
Penyanyi berusia 28 tahun itu dijadualkan bakal menamatkan konsert jelajah Australia dan New Zealand pada hujung minggu ini dan akan membuat persembahan terakhir di Mount Smart Stadium, Auckland.
Berikut kami kongsikan video rakaman penonton di konsert tersebut.
Olahan : Izzat Ridzwan
Sumber : Mirror.co.uk