Adele pintas rekod sendiri, '30' kini di tangga teratas carta UK

Astro Awani
November 27, 2021 09:02 MYT
Diterbitkan baru seminggu lalu, penangan suara emas penyanyi terkenal Adele terus menjadi bualan hangat apabila melakar rekod baharu melalui album terkini "30". -Gambar fail/ETX Studio
DITERBITKAN baru seminggu lalu, penangan suara emas penyanyi terkenal Adele terus menjadi bualan hangat apabila beliau melakar rekod baharu melalui album terkini "30".
Pada Jumaat, "30" menduduki tempat teratas Carta Album Rasmi UK serta memecahkan beberapa rekod lain.
Dengan jualan carta minggu pertama berjumlah 261,000, "30" meraih jualan pembukaan terlaris 2021 setakat ini.
Ia sekali gus mengatasi rekodnya sendiri untuk debut album solo wanita terlaris melalui "25" pada tahun 2015, lapor Bang Showbiz.
Kejayaan ini turut mengatasi rekod dibuat ABBA melalui album pertamanya sejak 40 tahun "Voyage" awal bulan ini.
Pencipta lagu "Easy on Me" itu menerbitkan album terbaharunya "30" minggu lalu.
BACA: 'Easy On Me' single terbaharu Adele buat peminat tidak keruan
BACA: Album baharu Adele rakam kisah kehancuran rumah tangga
BACA: Gagal siar temu bual Adele, pengacara televisyen Australia mohon maaf
BACA: Adele kongsi lagu 'To Be Loved' di Instagram, undang sebak netizen
Album Adele ini juga menandakan jualan minggu pertama terlaris untuk sebuah album selepas Ed Sheeran melalui "Divide" pada 2017.
Jualan untuk "30" minggu ini merangkumi 67 peratus jualan fizikal.
Ia juga merupakan album paling banyak distrim minggu ini dengan 55.7 juta kali dimainkan.
Adele, 33, kini memiliki empat album nombor satu UK yang setiap satunya menduduki carta teratas.
Dalam carta single, Adele meraih tempat kedua untuk "Oh My God" dan keempat untuk "I Drink Wine", manakala Ed Sheeran berada di kedudukan ketiga dan kelima melalui "Shivers" dan "Bad Habits".
#Adele #30 #Carta Album Rasmi UK #pecah rekod
;