Adele menang tiga anugerah utama di Anugerah BRIT

Agensi
Februari 9, 2022 21:51 MYT
Adele menerima anugerah 'Artist of the Year'. - Foto REUTERS/Peter Cziborra
PENYANYI terkenal Adele memenangi tiga anugerah utama di Anugerah BRIT pada Selasa, dalam edisi pertama penganugerahan dibuat tanpa pengkhususan jantina, lapor Reuters.
Digelar "Queen of the BRITs" oleh hos Mo Gilligan, penyanyi dan penulis lagu kelahiran London itu memenangi anugerah pertama malam itu, 'Song of the Year' untuk single popularnya, Easy on Me.
Lagu itu merupakan single pertama daripada album kemunculan semulanya, 30, sebuah album yang sarat mengandungi kisah peribadinya termasuk tentang perceraiannya. Ia juga dinobatkan pemenang 'Album of the Year'.
"Saya ingin mendedikasikan anugerah ini kepada anak saya, dan kepada ayahnya. Album ini adalah sebuah perjalanan kami, bukan hanya milik saya," kata Adele yang sebak, merujuk kepada bekas suaminya Simon Konecki.
"Saya sangat bangga dengan diri saya sendiri kerana mengeluarkan sebuah album yang sangat istimewa dan peribadi (kerana) tidak ramai orang akan melakukan perkara seperti itu," katanya lagi.
Penyanyi berusia 33 tahun itu juga memenangi kategori 'Artist of the Year' yang menyaksikan penyanyi rap Little Simz and Dave, serta penyanyi Ed Sheeran dan Sam Fender, turut dicalonkan.
Walaupun baru dikeluarkan pada bulan November, 30, album studio keempat Adele, adalah album terlaris di Britain pada 2021, apabila berjaya mencatatkan jualan 600,000 unit dalam masa enam minggu sahaja.
#Adele #London #Anugerah BRIT #Queen of the BRITs
;