Adele catat 12 rekod sepanjang tahun 2015
Nizam Bakeri
Disember 29, 2015 16:05 MYT
Disember 29, 2015 16:05 MYT
Pelancaran album terbaru Adele, 25, November lalu telah mendapat sambutan luar biasa para peminat muzik di seluruh di dunia yang sudah lama menantikan karya terbaru penyanyi berkenaan yang kali terakhir tampil dengan album penuh pada tahun 2011.
Album 25 telah mencipta fenomena dalam dunia muzik dan Adele mencatat satu demi satu rekod yang pasti sukar ditandingi oleh mana-mana penghibur selepas ini.
Berikut merupakan rekod yang dicatatkan oleh beliau sepanjang tahun ini, menurut Buzzfeed:
1- Hello merupakan lagu pertama yang mencapai jualan atas talian sebanyak sejuta muat turun dalam satu minggu.
2- Hello memecahkan rekod jualan single digital terlaris dalam masa seminggu (1.1 juta) yang sebelum ini dipegang oleh Flo Rida melalui single Right Round pada tahun 2009 (636 ribu).
3- Video muzik Hello ditonton sebanyak 27.7 juta kali dalam tempoh 24 jam pertama, memadamkan rekod yang dipegang oleh Taylor Swift melalui lagu Bad Blood (20.1 juta tontontan).
4- Video muzik Hello yang menggunakan tona warna sepia merupakan video muzik pertama yang dirakam sepenuhnya menggunakan kamera IMAX.
5- Lagu Hello mencatat 20.4 juta strim melalui penstriman on-demand dalam masa seminggu sekaligus memintas rekod yang dipegang Justin Bieber melalui lagu What Do You Mean (10.1 juta strim).
6- Pada bulan November, album 25 menjadi album pertama di Amerika Syarikat yang terjual melebihi tiga juta unit dalam tempoh seminggu. Sejumlah 3.38 juta unit album terjual dalam tempoh hanya tiga hari.
7- Pencapaian tersebut turut memecahkan rekod jualan album terpantas dalam masa seminggu yang dipegang oleh kumpulan N’SYNC melalui album No Strings Attached (2.42 juta unit).
8- Rekod tersebut juga memintas rekod album terlaris dalam seminggu bagi artis wanita yang telah lama dipegang oleh Britney Spears menerusi album Oops! I Did It Again (1.32 juta unit).
9- Hanya dalam masa seminggu, 25 diiktiraf sebagai album paling laris bagi tahun 2015 sekaligus mengambil alih takhta milik Taylor Swift melalui album 1989.
10- Penampilan Adele dalam rancangan satira Saturday Night Live terbitan NBC mencatat antara jumlah tontonan tertinggi bagi tahun 2015.
11- Di Amerika Syarikat, 25 merupakan album pertama dalam sejarah yang mencatat jualan melebihi sejuta unit bagi dua minggu pertama. (Minggu 1: 3.38 juta, Minggu 2: 1.1 juta)
12- Konsert Adele Live In New York City terbitan NBC telah ditonton oleh 11.2 juta penonton, menjadikan rancangan itu konsert khas dengan tontonan tertinggi di saluran tersebut dalam tempoh 10 tahun.