Adele buat lawatan mengejut ke rumah peminatnya yang tenat
Kohilah Sekaran
Mac 2, 2016 19:59 MYT
Mac 2, 2016 19:59 MYT
IMPIAN seorang remaja yang sakit tenat untuk bertemu idolanya, Adele, akhirnya menjadi kenyataan.
Adele membuat lawatan kejutan ke rumah Rebecca Gibney yang berusia 12 tahun sebelum konsert jelajahnya di Belfast, Ireland, semalam.
Memetik laporan Metro.co.uk, Rebecca didiagnos menghidapi masalah cerebral palsy dan epilepsi.
Difahamkan, Rebecca gemar mendengar lagu-lagu Adele dan sering menyatakan keinginannya untuk bertemu penyanyi Hello itu.
Bagi merealisasikan impian anaknya, ibu Rebecca, Tracy Gibnay kemudian melancarkan kempen di Facebook pada tahun lepas untuk membantu meraih perhatian dunia.
Selepas beberapa bulan Tracy mencuba untuk menghubungi Adele, Tracy mengaku bahawa dia hampir berputus asa.
Tetapi, impian anaknya menjadi kenyataan baru-baru ini apabila Adele membuat lawatan mengejut ke rumah mereka di Short Strand, timur Ireland pada 1 Mac.
“Saya masih berada dalam keadaan terkejut, saya dapat mengabulkan permintaan anak saya. Adele adalah seorang yang sangat baik,” kata Tracy.
Rebecca yang tidak mampu bangun dari katil menyatakan rasa gembiranya selepas melihat Adele di rumahnya.
Adele turut menjemput keluarga Rebecca untuk menghadiri konsertnya yang telah berlangsung malam tadi.