Adegan panas drama 'Perempuan Itu' tidak sesuai budaya tempatan - Ahmad Marzuk
Bernama
Mac 20, 2022 04:24 MYT
Mac 20, 2022 04:24 MYT
KOTA BHARU: Adegan panas 'teaser' drama Perempuan Itu yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen ketika ini, tidak sesuai dengan budaya tempatan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata pemain industri hiburan seharusnya mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
"Kita serah kepada K-KOMM untuk mengambil sebarang tindakan.
"Dari sudut panduan agama, budaya seperti itu tidak sepatutnya dibawa ke dalam negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Muaythai Kebangsaan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini semalam.
Ahmad Marzuk berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan K-KOMM bagi mencari satu ketetapan, garis panduan dan solusi supaya perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.
Sementara itu, Ahmad Marzuk meminta orang ramai merujuk mufti di negeri masing-masing bagi menjawab persoalan sama ada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 perlu membayar zakat 2.5 peratus.
Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA