Adegan keterlaluan tidak sensitif terhadap budaya kesopanan, kesusilaan rakyat Malaysia
Bernama
Mac 23, 2022 04:05 MYT
Mac 23, 2022 04:05 MYT
KUALA LUMPUR: Video adegan keterlaluan dalam drama bersiri yang bakal ditayangkan di saluran televisyen swasta, yang dimuat naik di portal Twitter oleh seorang pelakon tempatan baru-baru ini, dilihat sebagai tidak sensitif terhadap budaya kesopanan dan kesusilaan diamalkan rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Md Nasir Ibrahim dalam kenyataan pada Rabu berkata sebarang penggambaran sebegini, tidak sewajarnya berlaku dan Finas memandang serius isu tersebut.
"Finas ingin menekankan penguatkuasaan tapisan kandungan filem dan televisyen di negara adalah bukan di bawah bidang kuasa Finas, namun selaku badan yang dipertanggungjawabkan dalam pengeluaran lesen penerbitan filem tempatan, Finas akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Perlesenan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (1983), Peraturan 6(2).
"Finas boleh membatalkan sesuatu lesen jika pemegang lesen itu telah disabitkan atas suatu kesalahan berkenaan dengan kecurangan, fraud atau keburukan akhlak," katanya.
Md Nasir berkata sebagai badan peneraju industri perfileman negara, Finas menyeru para penggiat industri kreatif lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya.
-- BERNAMA