"Ada yang suruh cepat cari pasangan" - Shuib serah perihal jodoh pada Allah

Gempak
Januari 10, 2022 13:03 MYT
Shuib mengakui, anak-anaknya juga ada bertanya mengenai pasangan hidup. - Gambar GEMPAK
USAHAWAN dan pelawak Shuib mengakui ramai bertanya tentang jodoh selepas hampir setengah tahun pemergian isterinya Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Bagaimanapun, kata Shuib, dia tidak berani mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan menyerahkan semuanya kepada Allah SWT.
“Saya serahkan semuanya kepada Allah SWT. Saya tak berani nak cakap sebab yang melalui semua ini saya.
“Saya takut kalau saya bercakap nanti ada pula yang kata hari tu beria-ia sedih tup-tup dah cari pengganti.
“Tapi ada juga yang suruh cepat cari pasangan supaya boleh move-on, jadi biarlah masa yang menentukan,” katanya.
Shuib berkata, buat masa ini dia mahu memberi fokus kepada anak-anak meskipun mereka sering bertanya mengenai pasangan hidup.
“Memang betul anak-anak selalu bertanya saya ada kawan dengan siapa-siapa ke? Saya ini keluar rumah hanya untuk bekerja dan selepas itu balik.
“Bukan tak reti nak berkawan tetapi saya cuma mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak saya. Saya akan utamakan anak-anak dahulu dan kalau ada pasangan nanti pun dia mesti kena tahu yang anak-anak adalah priority (keutamaan) saya,” katanya.
Dalam pada itu Shuib turut menekankan tentang komen-komen negatif yang diterima selepas berita berkaitan pasangan hidup mula dimainkan di media.
“Saya tak pernah ambil kisah komen negatif sebab bukan kali pertama pun. Saya tak boleh nak tutup mulut orang daripada berkata-kata.
“Jadi saya ambil pendekatan untuk tidak perlu dengar banyak perkara mengenai orang lain. Sebab saya hanya perlu dengar apa kata mak, bapa mentua dan ibu mentua serta ahli keluarga lain. Lainlah kalau ada usik orang lain, itu lain cerita,” katanya lagi.
Shuib kini memikul tanggungjawab sebagai bapa tunggal kepada empat orang anak selepas isterinya penyanyi Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempatnya Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus COVID-19.
Hasil perkahwinan bersama arwah, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia lima bulan.
Shuib ditemui di Sidang Media Loveta x Anzalna di The Ruma Hotel & Residences, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Artikel asal di Gempak boleh dibaca di sini.
#Shuib #Siti Sarah #Siti Sarah meninggal dunia akibat COVID-19 #pasangan hidup
;