Ada kemungkinan konsert Coldplay ditambah sehari lagi
Astro Awani
Mei 23, 2023 07:30 MYT
Mei 23, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Peminat-peminat setia Coldplay yang gagal mendapatkan tiket konsert kumpulan itu masih lagi boleh meletakkan harapan untuk berpeluang menonton persembahan mereka di ibu negara pada November depan.
Ini kerana penganjur Live Nation Malaysia tidak menolak kemungkinan konsert Coldplay: Music Of The Spheres di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, akan ditambah sehari lagi susulan permintaan yang diterima masih tinggi.
Bagaimanapun, Pengarah Urusannya, Para Rajagopal berkata, terlalu banyak aspek perlu diambil kira bagi menunaikan impian ramai itu.
"Segalanya ada kemungkinan. Perbincangan masih berjalan mengenai banyak perkara. Kami tak boleh cakap apa-apa lagi," katanya seperti dilaporkan portal Berita Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian susulan terdapat petisyen dalam talian untuk konsert hari kedua ditambah selepas kumpulan terbabit mengumumkan bakal adakan konsert hari kedua di Koahsiung, Taiwan.
Dalam masa sama, Para menyarankan peminat-peminat sentiasa melihat pengumuman terbaharu di saluran-saluran penganjur.
Kata Para, lebih 700,000 berusaha membeli tiket pada 17 Mei lalu yang kemudiannya terjual habis dalam tempoh tiga jam sahaja.
"Sangat berbeza dengan pembelian tiket penerbangan atau tempahan hotel. Tekanan menimpa keseluruhan infrastruktur digital cukup berlainan.
"Secara total, saya rasa kami tiada kawalan terhadap siapa berjaya dapat tiket dan pada jam berapa. Kami buka kepada sesiapa saja untuk masuk dalam sistem, tapi semestinya ada had tiket dijual," kata beliau lagi.
#Coldplay
#konsert Coldplay Music Of The Spheres
#Live Nation Malaysia
#konsert Coldplay ditambah sehari lagi