Ada kementerian belum bayar 'show' buskers - Wady MYBC

Wan Syamsul Amly
Mac 13, 2016 22:28 MYT
WADY MYBC: 'Ada kementerian belum bayar 'show' buskers' - Gambar fail
Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) meluahkan rasa kesal kerana ada kementerian yang masih berhutang pembayaran walaupun selepas dua tahun persembahan diadakan.
Presidennya, Wady Hamdan berkata bayaran yang akhirnya dijanjikan pada penghujung 2015 masih tidak kunjung tiba selain berasakan ia hanya janji kosong semata-mata.
"MYBC berterima kasih kepada beberapa kementerian di atas sokongan yang diberikan selama ini menerusi pelbagai dasar dan program.
"Mereka memberikan kepercayaan kepada buskers seperti pelancaran Program 'My Buskers Corner; yang membuka ruang kepada buskers untuk berkarya dan buskers selesa dengan sokongan diberikan.
"Bagaimanapun, menteri berkenaan harus memantau kementeriannya serta pegawai sendiri dalam menjalinkan hubungan baik dengan pihak yang membantu menyampaikan agenda kepada masyarakat," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Bagaimanapun ujar Wady, paling dikesali kerana ada program yang melibatkan pembayaran lebih RM180,000 masih belum dijelaskan.
"Masalah berlaku hanyalah perkara teknikal dokumen di antara pihak kementerian dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kita selaku penganjur pada awalnya ingin menghentikan program ini memandangkan beberapa hal berkaitan kewangan belum lagi selesai namun jaminan oleh pegawai berkenaan yang memastikan tiada masalah menjadikan jaminan tersebut diterima.
"Selepas program, pegawai itu memaklumkam segala proses bayaran dilakukan namun sehingga kini perkara tersebut semakin tidak diendahkan.
"Saya mengambil jalan untuk berbincang di peringkat atasan, tetapi sikap pegawai tersebut seolah tidak membantu dan tidak membenarkan sebarang perbincangan," ujarnya.
Keluh Wady, memandangkan tekanan yang diterima, pihaknya telah berhubung dengan pejabat menteri namun jawapannya tetap mengecewakan kerana dimaklumkan ia di luar kuasa.
"Namun pejabat menteri berkenaan mengakui ini adalah satu penganiayaan. Kami terus meminta hak namun akhirnya pegawai berkenaan terus mengambil sikap lepas tangan
"Ini adalah satu tindakan yang sangat kejam, kami cuba mendapatkan bantuan daripada kementerian lain yang berkenaan namun tetap tiada balasan.
"Jumlah RM180,000 adalah sesuatu yang besar kepada kami dan ianya tidaklah sebesar mana bagi sebuah kementerian," jelasnya.
Sebelum ini, Wady mendedahkan sikap segelintir pegawai kerajaan yang mengharapkan imbuhan dari program-program yang ditawarkan kepada buskers di samping ingin mendapat nama dan 'tunjuk buat kerja' tanpa ada keikhlasan dalam berperanan sebagai seorang kakitangan yang komited.
#kerajaan #MyBC #Program My Buskers Corner #Wady
;