Ada apa dengan Pok Ya Cong Codei

Irwan Muhammad Zain
Januari 26, 2018 18:59 MYT
Pok Ya Cong Codei bukan samseng atau gengster walaupun dia seorang yang berani, mempunyai ramai pengikut dan sangat dihormati. - Gambar arkib
TAHUN 2018 bermula dengan sangat baik buat pengarah dan pelakon Sabri Yunus apabila drama Pok Ya Cong Codei trending dan tular selepas ditayangkan di Astro CITRA pada 20 Januari lalu.
Semuanya kerana satu watak yang dibawakan oleh Sabri, Pok Ya Cong Codei, seorang gedebe dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk melaksanakan tugas mencari anak seorang Datuk yang kononnya dilarikan lelaki.
Di Kelantan, watak seperti Pok Ya itu memang wujud malah perkataan 'Cong Codei' pernah menjadi bualan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang satu masa dahulu.
Pok Ya Cong Codei bukan samseng atau gengster walaupun dia seorang yang berani, mempunyai ramai pengikut dan sangat dihormati serta disegani, tetapi Pok Ya Cong Codei memberi makna sebenar 'gedebe' yang sekian lama disalah erti oleh ramai pihak.
Gedebe satu istilah yang berasal dari Selatan Thai merujuk kepada Tok Nebe atau Tok Penghulu, satu sosok yang sangat dihormati dan disegani serta mampu menyelesaikan banyak masalah antaranya pergaduhan melibatkan kumpulan samseng dan hal lain di kawasan sekitarnya. Mengikut kata Sabri, istilah gedebe hanya muncul di Kelantan sekitar era 70-an.
Dalam drama yang disiarkan di Astro CITRA itu pun, watak Pok Ya Cong Codei bukanlah kaki gaduh yang hanya tahu mahu mengamuk dan marah-marah, sebaliknya Pok Ya Cong Codei menyelesaikan masalah Datuk Sahak dengan caranya dan membantu Rashdan (lakonan Fikry Ibrahim) menyelesaikan masalah mendapatkan wang untuk merawat ibunya serta mendamaikan Halim Kampung Pasir (Saidi Sabri) dan Nasir Badak atau Nasir Chow Kit (Ku Hanafi Ku Harun).
Itulah watak gedebe sebenar, bukan samseng atau gangster yang hanya tahu bergaduh semata-mata atau memukul orang lain yang tidak setuju dengannya. Pok Ya Cong Codei sanggup meminta maaf bila dia sedar bersikap kurang ajar ketika cuba meminta bantuan seorang lelaki berkaki palsu.
Pok Ya Cong Codei juga mempunyai sikap mulia, memberikan wang berjumlah RM40,000 yang sepatutnya menjadi upah untuk dia kepada Rashdan supaya mengubati ibunya yang berdepan masalah jantung.
Dalam drama itu, Sabri juga memberitahu penonton, sehebat mana pun seseorang, dia tetap memerlukan orang lain untuk membantu dalam banyak perkara, contohnya Pok Ya perlu menunggu Halim dan Sero tiba untuk memesan makanan kerana dia tidak tahu menggunakan khidmat pesanan dari bilik hotel.
Menerusi sisi naif Pok Ya inilah penonton akan ketawa biarpun tidak memahami dialog dalam loghat Kelantan.
Pok Ya juga digambarkan sebagai satu sosok yang mempunyai prinsip dan sangat komited dengan tugas yang telah dipersetujui.
Drama Pok Ya Cong Codei juga membuktikan watak utama tidak semestinya perlu diserahkan kepada pelakon muda dan kacak semata-mata. Malah dua pelakon yang mempunyai wajah 'boleh jual', Uqasha Senrose yang memegang watak Aina dan Fikri Ibrahim tenggelam dek penangan Pok Ya Cong Codei.
Biarpun ditenggelamkan oleh Pok Ya Cong Codei, Uqasha dan Fikri memberikan lakonan yang hebat, begitu juga Mustapha Kamal dan pelakon-pelakon lain termasuk Zee Khan Hussein yang memegang watak Siti, isteri yang baru sebulan dinikahi Pok Ya.
Pok Ya Cong Codei kini trending dan tular. Pok Ya Cong Codei juga memberikan pengajaran tersendiri kepada penonton dalam komedi dan santainya.
#Astro Citra #Cong Codei #Fikry Ibrahim #gangster #gedebe #Ku Hanafi Ku Harun #Mustapha Kamal #Pok Ya Cong Codei #sabri yunus #Saidi Sabri #samseng #Uqasha Senrose
;