Aaron Aziz: Kuasai Bahasa Inggeris untuk berjaya

Astro Awani
Mac 31, 2013 14:56 MYT
Umum mengetahui akan sambutan yang menggalakkan terhadap program Oh My English! pada tahun lalu.
Menggunakan pendekatan 360 darjah pelbagai medium, siri TV Oh My English! menampilkan kaedah pembelajaran yang menyeluruh.
Bukan sekadar menerusi peti kaca televisyen di rumah anda, malah merangkumi butang merah interaktif di alat kawalan jauh Astro, video klip pendek, laman sesawang, permainan, bengkel pembelajaran di sekolah, majalah ilmiah, kapsul radio dan laman media sosial.
Dengan kerjasama bersama Kementerian Pelajaran, pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan ini turut dibawa merentasi sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.
Jangan terkejut apabila tajuk program ini juga menjadi ungkapan harian popular di kalangan belia. Beberapa kali sewaktu tayangannya, ungkapan tersebut menjadi salah satu topik ‘trending’ di Twitter.
Kembali untuk musim kedua, beberapa pelakon baru diperkenalkan. Paling mendapat perhatian pastinya, pemenang trofi Bintang Paling Popular ABPBH tahun lalu, Aaron Aziz.
Menerima tawaran terlibat dalam program infotainmen itu kerana desakan anaknya yang meminati program tersebut. Dalam edisi kedua ini, Aaron bakal membawakan watak Cikgu Malik, guru pendidikan jasmani.
Menurut Aaron, program Oh My English berjaya mengeratkan lagi hubungan mereka sekeluarga. Paling utama apabila anak-anaknya gembira dapat melihat kelibat ayahnya dalam program tersebut.
Oh My English baginya dapat mendekatkan pelajar dengan bahasa tersebut dalam situasi yang lebih santai. Pembelajaran berlangsung bukan sahaja di sekolah, malah turut boleh dilakukan di rumah dengan bimbingan dan awasan ibu-bapa.
Itulah yang dilakukannya sekira memiliki waktu terluang bersama anak-anaknya. Sambil mereka berhibur dengan komedi yang dipersembahkan menerusi program tersebut, anak-anaknya secara tidak langsung belajar sesuatu.
Kaedah pendidikan di sekolah Malaysia ada perbezaannya dengan negara asalnya di Singapura. Apabila membandingkan sistem pendidikan antara dua negara itu, Aaron akui ada perbezaannya.
Paling ketara apabila bahasa utama di negara asalnya itu sendiri adalah Bahasa Inggeris. Di Singapura, bahasa Inggeris merupakan subjek wajib lulus dalam sistem pendidikannya.
Mahu tidak mahu, rakyat di Singapura khususnya pelajar sekolah rendah mahu pun menengah telah pun didedahkan dengan penggunaan bahasa tersebut sebagai bahasa perbualan seharian.
Secara tidak langsung, mereka menjadi mahir dan menguasai bahasa Inggeris.
Untuk itu, pelajar di Malaysia sewajarnya lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris untuk menguasainya. Menerusi pembacaan juga mampu menjadi salah satu faktor untuk menjadikan bahasa tersebut sesuatu yang biasa di lidah.
"Para pelajar harus sedar akan kepentingan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian, baik untuk masa kini mahu pun pada masa depan. Ia harus dikuasai untuk bekalan hidup sebelum melangkah ke dunia yang lebih mencabar." jelas Aaron.
Aaron menambah, untuk berjaya penggunaan bahasa Inggeris harus dikuasai. Kesannya amat besar, bukan untuk sekarang, sebaliknya dalam jangka masa panjang. Satu hari kelak katanya, seorang pelajar itu akan melangkah ke dunia pekerjaan yang lebih mencabar dan persaingannya terlalu sengit.
Untuk menjadi antara yang berada di hadapan, bahasa Inggeris perlu dikuasai.
Oh My English! untuk musim pertama telah mencatatkan jumlah penonton televisyen seramai lebih daripada 3.6 juta, lebih 8.4 juta menontonnya di YouTube dan terdapat 430,000 peminat di Facebook.
Program ini juga merupakan rancangan yang paling banyak ditonton di Astro-On-The-Go sambil turut menarik ramai pelawat ke laman sesawang pendidikan Oh My English!.
Para peminat Oh My English! boleh menyaksikan tayangan musim kedua pada setiap hari Ahad jam 7.30 malam, bermula hari ini di Astro TVIQ (saluran 610) dan untuk definisi tinggi (HD) di Astro Mustika HD (saluran 134).
#Aaron Aziz #cikgu malik #Oh My English
;