Aaron Aziz akui pernah terlibat dunia samseng

Astro Awani
Jun 29, 2013 12:47 MYT
Pelakon filem terkenal, Aaron Aziz mendedahkan pernah terlibat dalam dunia samseng semasa zaman remajanya di Singapura.
Bagaimanapun, hero filem "KL Gangster" ini menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang mahal agar dia lebih menghargai kehidupannya sekarang.
Menurutnya, dia terjebak dalam kancah gangsterisme atas pengaruh rakan sebaya dan kerana perasaan ingin tahu.
Bagaimanapun, Aaron menganggap bercampur dengan golongan sedemikian tidak semestinya menjadikan dia insan yang tidak berguna.
Aaron membuat pengakuan terbuka itu secara eksklusif melalui program khas "E! Special: Aaron Aziz".
Pelakon berusia 37 tahun itu menjadi artis Asia pertama untuk dipaparkan dalam program tersebut.
Berdurasi satu jam, beberapa individu termasuk rakan artis seperti Lisa Surihani dan Datuk Yusof Haslam turut ditemubual.
Namun demikian, pelakon drama Adam dan Hawa itu tidak membenarkan produksi menemuramah ibunya.
"E! Special!: Aaron Aziz" bakal disiarkan di saluran E! di saluran Astro 712 pada 7 Julai depan mulai pukul 8.30 malam.
#Aaron Aziz #saluran E
;