90,000 helai koleksi tudung terbaharu Wawa Zainal habis terjual, raih RM2.5 juta

Astro Awani
Ogos 25, 2022 18:45 MYT
Wawa mendedahkan jualan kumpulan pertama koleksi itu dianggarkan membawa keuntungan sekitar RM2.5 juta.- Instagram/w4w4_zainal
USAHAWAN yang juga isteri pelakon Airil Zafriel, Wawa Zainal, berjaya menjual kesemua 90,000 helai koleksi baharu Wawa Scarve dalam masa 24 jam sebelum pelancaran rasminya.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkongsi berita gembira itu dalam satu kemas kini di Instagram miliknya.
Bercakap kepada Astro Gempak, Wawa mendedahkan jualan kumpulan pertama koleksi itu dianggarkan membawa keuntungan sekitar RM2.5 juta.
Wawa berkata ia merupakan tanda kesetiaan pelanggan terhadap jenamanya serta rezeki dari Allah SWT.
“Alhamdulillah, kami berjaya menjual batch pertama kami. Bohong jika saya katakan saya tidak meletakkan harapan atau sasaran yang tinggi, dan saya amat bersyukur apabila ia menjadi kenyataan.
“Pada mulanya kami berjaya menjual 20,000 keping, kemudian angka itu bertambah sehingga 90,000 helai semuanya habis dijual. Insya-Allah kami akan menghasilkan lebih banyak lagi selepas ini,” katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu juga bersyukur kerana dapat menyumbang kepada ekonomi perniagaan kecil dan dapat berkongsi pendapatannya dengan anggota masyarakat yang kurang bernasib baik.
“Saya percaya dalam apa jua yang kita perolehi, ada bahagian untuk orang lain juga. Itu yang saya tanamkan dalam diri dan dalam perniagaan saya," ujarnya.
#Wawa Zainal #usahawan #wawa scarve #Nur Hawa Zainal Abidin #koleksi tudung #hijab
;