5 tahun tak putus usaha, ini ikhtiar suami Elyana demi mencari penawar barah
Gempak
Disember 1, 2017 23:28 MYT
Disember 1, 2017 23:28 MYT
Tiada penyakit yang tiada ubatnya melainkan mati, azimat itu yang dipegang suami Elyana, Khairul Anuar Hussin bagi mencari penawar menyembuhkan barah limfoma yang dihidapi suri hatinya.
Kata Khairul, sejak lima tahun lepas mereka tidak berputus asa untuk mencari ikhtiar merawat dan mencegah sel-sel kanser itu daripada menular.
"5 tahun berperang dengan penyakit kanser, bercerita, bertanya dan berkongsi segalanya tentang penyakit itu rasanya seperti pakar kanser pula.
"Selain kemoterapi, pelbagai ubat-ubatan sudah kami cuba. Sebut sahaja jenis ubatnya, semua pernah Elyana telan.
"Ramai yang menyarankan Elyana cuba pelbagai rawatan namun pendek katanya hampir 90 peratus sudah kami buat.
"Berubat secara moden, berjumpa doktor pun sudah. Berjumpa ustaz, berubat secara tradisional pun sudah, makan jamu pun sudah.
"Malah, sebelum bermula Gegar Vaganza 4 (GV4) pun kami sekeluarga ke Jakarta, Indonesia untuk berubat dengan seorang pengamal perubatan berpangkat Ketua Doktor Angkatan Tentera di sana dengan kaedah jamu.
"Katanya, mengamalkan perubatan jamu mungkin makan masa dan ada banyak pantang larang daripada segi makanan, namun apa salahnya kami berikhtiar," kongsi Khairul eksklusif kepada Astro Gempak.
Penjelasan Khairul sedikit sebanyak menjawab dan menangkis persepsi buruk tentang ulang-aliknya Elyana ke kepulauan maritim itu.
Tekanan juga kata Khairul menjadi baja untuk sel-sel kanser dalam badan Elyana pantas membiak.
"Selepas dia membuat keputusan untuk memberhentikan rawatan kemoterapi, saya lihat dia lebih berkeyakinan dan gembira apabila mendapat semula dirinya yang dulu," katanya.
Kali pertama Elyana mengetahui dia menghidap kanser limfoma tahap dua pada tahun 2012 selepas melahirkan cahaya mata sulungnya, Cinta Sumayyah.
Namun, pada awal tahun ini, kanser limfoma itu dikesan sudah berada pada tahap empat dan telah menyerang paru-paru dan tulang badannya.
Bersama-sama kita doakan kesihatan Elyana kembali pulih seperti sedia kala dan hadiahkan kata-kata positif kepadanya. Jangan putus harapan dan kuatkan semangat!
Kami di Astro Gempak mendoakan kesejahteraan Elyana.
Teks oleh: Amri Hassan