5 sebab generasi dari era 80an perlu tonton Power Rangers

Gempak
Mac 23, 2017 22:16 MYT
Sempena pembuka tayangan Power Rangers, kami senaraikan lima sebab kenapa anda perlu menonton filem itu.
KANAK-KANAK yang membesar pada era 1990-an pasti tidak asing dengan siri Mighty Morphin Power Rangers.
Menggamit kenangan setiap kali senja hujung minggu, siri itu antara rancangan televisyen yang akan dinanti-nantikan oleh kanak-kanak.
Malah, penangan hebat Power Rangers juga terbawa-bawa sampai ke sekolah. Pasti ada antara kita yang selalu berebut-rebut menjadi ranger mengikut warna kegemaran bukan?
Filem ini setia dengan jalan cerita asalnya. Kurangkan ekspektasi untuk melihat filem Power Rangers seperti filem adiwira lain seperti Spiderman atau Batman.
Sempena pembuka tayangan Power Rangers hari ini, kami senaraikan lima sebab kenapa anda perlu menonton filem itu.
1) Jalan cerita straight forward
Tiada plot twist dalam seluruh perjalanan cerita selama 143 minit.
Daripada permulaan plot, perkembangan watak, klimaks cerita hingga peleraian, garapan pengarah filem ini Dean Israelite tidak mengelirukan.
Filem Power Rangers dimulakan dengan pengenalan lima remaja biasa yang berubah menjadi sekuat adi wira selepas menemui syiling berwarna (merah, biru, hitam, kuning, merah jambu) di sebuah kawasan perlombongan.
Sejurus kemunculan watak antagonis (Rita Repulsa), berlaku pertarungan sengit hingga penjahat berjaya ditumpaskan.
2) Watak yang seimbang
Olahan satu-persatu watak Power Rangers tidak melampau dan justifikasi setiap karakter dihuraikan secara jelas dan seimbang.
Jason (Ranger Merah) merupakan seorang pelajar yang aktif bersukan namun mempunyai masalah disiplin. Kimberly (Ranger Merah Jambu) seorang ahli pasukan sorak yang berdepan krisis dengan rakan baik.
Billy (Ranger Biru) cuba mencari ketenangan selepas kehilangan ayahnya, Zack (Ranger Hitam) berdepan pergolakan diri terpaksa menjaga ibunya yang sedang sakit dalam keadaan serba kurang.
Manakala, watak paling kontroversi, Trini (Ranger Kuning) merupakan remaja yang berdepan krisis identiti.
Paling comel sudah tentu karakter robot penjaga Zordon, Alpha 5 bersama signatur dialog "Ai Yai Yai".
3) CGI tidak melampau
Penggunakan teknologi Computer-Generated Imagery (CGI) dalam filem ini tidak melampau-lampau dan masih nampak rasional bagi sebuah filem melibatkan pertarungan gergasi dalam kehidupan manusia.
Efek pertarungan dan penjanaan imej raksasa jahat juga masih boleh diterima akal.
Paling menarik ketika semua dinozord keluar serentak untuk berperang diiringi lagu ikonik Go Go Power Rangers. Tepukan gemuruh di situ!
4) Momen morphin dan megazord bertukar
Dua babak ini antara yang dinanti-nantikan oleh peminat filem Power Rangers.
Lebih sejam sebenarnya penonton terpaksa menunggu untuk melihat kesemua ranger bertukar (morph) dengan menyarung sut masing-masing.
Sengaja barangkali dilambatkan detik itu supaya tidak membunuh rasa teruja.
Sama juga seperti babak dinozord bergabung menjadi megazord. Sudah hampir berkecai semua dinozord barulah pasukan Power Rangers tahu untuk bersatu menjadi megazord perkasa.
Tapi, anda patut tunggu momen megazord menari! Awesome.
5) Pengajaran berguna
Filem ini sesuai dengan klasifikasi P13. Tiada adegan melampau ganas atau sensitif.
Sama seperti pengajaran yang diselitkan seperti siri asalnya, filem ini masih mengangkat semangat setiakawan untuk menentang kejahatan.
Yang pasti, tanpa wujudnya Rita Repulsa (Elizabeth Banks), semua ranger tidak akan mengenali satu sama lain.
#adi wira #CGI #dinozord #Go Go Power Rangers #Mighty Morphin Power Rangers #Power Rangers
;