40 pelajar Sekolah Kebangsaan Setiawangsa teraju teater muzikal Belalang
Faida Rahim
Januari 13, 2023 14:38 MYT
Januari 13, 2023 14:38 MYT
KUALA LUMPUR: Sebuah pementasan teater muzikal Belalang anjuran Kelab Teater Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa Kuala Lumpur bakal dipentaskan bermula hari ini dan esok (14 Januari).
Pengarah teater Belalang Amar Reza Zainal Abidin ketika ditemui Astro AWANI memberitahu pementasan sepatutnya dijalankan pada tahun 2019 namun terpaksa ditangguh disebabkan pandemik COVID-19.
“Selepas empat tahun saya bersyukur akhirnya pementasan teater muzikal Belalang dapat direalisasikan. Seramai 40 orang pelajar berusia sembilan hingga 12 tahun terlibat menjayakan persembahan teater muzikal kali ini.
“Jalan cerita teater Belalang diadaptasi dari filem terkenal Nujum Pak Belalang lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang ditayangkan pada 1959.
“Ketika itu saya bertugas sebagai guru ganti di sekolah ini manakala skrip asal teater Belalang mendapat sentuhan guru besar SK Setiawangsa, Puan Norhayati Haron.
“Ada sedikit penambahan untuk menjadikan jalan cerita lebih ‘ringan’, sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak agar lebih mudah difahami,” katanya yang juga individu di sebalik projek digital 'Cik Yah'.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ditemui di sesi raptai penuh teater Belalang memaklumkan kagum dengan bakat ditonjolkan oleh para pelajar sekolah berkenaan.
“Sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa sudah tentu saya akan turun padang memberi sokongan penuh. Melihat persembahan kanak-kanak berusia seawal sembilan tahun berlakon di pentas profesional dan menyanyi, ia satu usaha dan persembahan yang luar biasa,” katanya berharap orang ramai dapat hadir memberikan sokongan.
Teater muzikal Belalang turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan bersama Armada Karya Production yang dipentaskan di Matic, Jalan Ampang.
Tiket boleh dibeli di kaunter jualan tiket Dewan Tunku Abdul Rahman bermula hari ini dan esok.