4 tahun menyepi, Rebecca Nur Al Islam rindu bidang lakonan
Gempak
Januari 13, 2017 23:10 MYT
Januari 13, 2017 23:10 MYT
Pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam merindui bidang lakonan selepas hampir empat tahun menyepikan diri.
Memberikan fokus kepada keluarga sepanjang tempoh tersebut, Rebecca rindu untuk beraksi di hadapan kamera.
"Saya akui saya sangat merindui bidang lakonan. Saya rasa teringin untuk berlakon kembali, membaca skrip dan menghayati watak. Tempoh empat tahun saya rasakan sangat lama.
"Namun begitu, saya tidak ralat kerana kehidupan seharian saya terisi dengan baik. Saya memberikan tumpuan kepada suami, keluarga dan anak-anak.
"Saya juga terlibat dengan bisnes hijab yang diberi nama Anggun Anggerik Shawl Hijab," kata Rebecca kepada Astro Gempak.
Tambah Rebecca, dia masih lagi mendapat tawaran lakonan tetapi dirinya bersikap lebih selektif bersesuaian dengan tugas hakikinya sebagai seorang isteri dan ibu.
"Saya masih mendapat tawaran tetapi saya bersikap memilih. Kalau boleh, saya mahukan watak yang memberikan kesan. Pada masa yang sama, watak itu harus bersesuaian dengan penampilan saya yang berhijab.
"Selain itu, saya juga enggan bekerja di luar daerah terlalu lama kerana tidak mahu meninggalkan suami dan anak-anak. Saya harus mendahulukan banyak perkara sebelum bersetuju dengan sesuatu tawaran lakonan.
Mengakui suaminya tidak menghalang minatnya dalam bidang lakonan, Rebecca tetap mahu memberi keutamaan kepada keluarga.
"Suami saya seorang yang sporting dan menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Namun begitu, keluarga menjadi keutaamaan dalam hidup saya.
"Jika dahulu, nama Rebecca Nur Al Islam memang dikenali dengan karakter wanita penggoda dan bersikap daring, kini saya tidak boleh lagi menerima watak-watak sedemikian. Saya harus menjaga batas. Pada masa yang sama, saya harus menjaga hati keluarga saya dan keluarga suami," katanya lagi.