4 lagi drama adaptasi novel terlaris Siti Rosmizah di Astro RIA bermula Mac

Fareez Azman
Mac 14, 2022 21:13 MYT
Kerjasama jangka panjang dimeterai membabitkan empat drama adaptasi novel karya Siti Rosmizah. - Gambar/ Astro
KUALA LUMPUR: Selepas 'Lafazkan Kalimah Cintamu', 'Curi-Curi Cinta' dan 'Rindu Awak Separuh Nyawa' mendapat sambutan hangat, Astro sekali lagi bakal bekerjasama dengan penulis novel tersohor Siti Rosmizah Semail.
Kali ini, kerjasama jangka panjang dimeterai membabitkan empat drama adaptasi novel karya Siti Rosmizah.
Majlis menandatangani kerjasama itu disaksikan Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario dan Siti Rosmizah sendiri yang merupakan Pengarah SR One Sdn Bhd.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, kolaborasi itu bakal memberikan kepuasan buat peminat drama tempatan.
"Dengan sukacitanya, saya bagi pihak Astro ingin mengumumkan kolaborasi bersama penulis novel prolifik negara, Siti Rosmizah. Kerjasama ini akan menyaksikan empat buah novelnya dikunci untuk diadapatasi sebagai drama di Astro.
"Ini termasuk 'Jangan Menangis Cinta' yang bakal bersiaran pada bulan Mac ini, 'Andai Itu Takdirnya 1&2' serta 'Takdir Itu Milik Aku'. Sekali lagi Astro membuktikan kemampuan untuk berdaya saing dalam industri yang amat kompetitif dengan membawa kandungan-kandungan berkualiti tinggi dan premium untuk tatapan penonton-penonton.
"Dengan kehadiran Siti Rosmizah yang konsisten dalam slot-slot drama di Astro, para penonton pastinya akan berpuas hati dengan seleksi kandungan kami," jelasnya.
Jelasnya, keempat-empat drama itu bakal menemui peminat bermula Mac ini sehingga tahun hadapan.
"Sudah pastinya bagi mereka yang sudah membaca novel-novel ini tidak sabar untuk melihat karya-karya tersebut diangkat ke kaca televisyen mahupun peranti mudah alih mereka.
"Bagi pihak Astro, kami berharap seleksi hasil karya Siti Rosmizah ini mampu menarik ramai lagi peminat-peminat drama ke platform kami.
"Kami menjanjikan kepuasan yang maksimum dengan kualiti produksi, arahan dan lakonan yang unggul. Kami turut berharap kerjasama bersama penulis prolifik ini berterusan dan mengecapi kejayaan yang berpanjangan," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, bagi Siti Rosmizah, beliau percaya menerusi kerjasama itu drama berkualiti dapat dilahirkan dalam industri tempatan.
Setiap drama jelasnya mempunyai keunikan plot dan garapan cerita yang pastinya sudah lama ditunggu-tunggu penonton.
"Dengan kerjasama ini, saya berharap drama-drama yang dipertontonkan mampu mendapat rating yang tertinggi dan menjadikan seleksi drama ini rancangan-rancangan nombor satu di Malaysia dan di mana-mana platform media sosial.
"Setiap drama ada tarikan dan kekuatan masing- masing. Keunikan plot dan garapan cerita yang lain bagi setiap drama. Yang pasti penonton akan suka dan teruja serta tak sabar untuk menonton kerana karya-karya ini memang dah lama dinantikan oleh penonton-penonton di luar sana untuk diadaptasi," jelasnya.
Drama 'Lafazkan Kalimah Cintamu' dibintangi barisan pelakon popular antaranya Remy Ishak sebagai Zafran, Amyra Rosli sebagai Riyana, Rita Nadira sebagai Dina, Halim Radzi sebagai Hariz dan Sharifah Fathimah Hawra sebagai Cinta Aryana.
Bakal ditayangkan bermula 21 Mac ini, peminat drama tempatan boleh mengikutinya setiap Isnin sehingga Khamis pada jam 10 malam di saluran Astro RIA.
Bagi drama 'Andai Itu Takdirnya 1' dan 'Andai Itu Takdirnya 2' dibintangi pelakon lelaki popular Shukri Yahaya sebagai Syed Aizril Adam.
Drama ini bakal ditayangkan suku kedua tahun depan, manakala drama berjudul 'Takdir Itu Milik Aku' pula bakal ditayangkan pada suku keempat tahun 2023.
#Astro Ria #adaptasi novel #Drama tempatan #Siti Rosmizah Semail
;