#25tahunSembilu: Siapa sebenarnya Wati?

Azyyati Ahmad, Hasimi Muhamad
Ogos 19, 2019 10:40 MYT
Siapakah persona bernama Wati dalam Sembilu? Adakah dia sekadar nama yang tiada empunya atau ada kisah di sebaliknya? -Foto Skop Productions
DI SEBALIK kegemilangan filem "Sembilu" yang ditayangkan 25 tahun lalu, satu misteri masih belum terjawab: Siapakah persona bernama Wati dalam filem itu?
Adakah dia sekadar nama yang tiada empunya atau ada kisah di sebaliknya?
Identiti "Wati" pernah dikaitkan dengan pelakon utama filem itu sendiri, Datuk Awie. Kononnya nama itu berputik daripada kisah cinta sejati yang dilaluinya sendiri.
Namun, siapa sebenarnya gadis bernama Wati yang berjaya mencuri hati Awie sehingga kisah itu dipentaskan ke layar perak?
Dalam usaha Astro AWANI merungkai rahsia itu, pelantun lagu "Di Ambang Wati" lebih selesa untuk terus merahsiakan identiti wanita berkenaan.
“Siapa pun tak tahu sebenarnya siapa Wati itu, siapa pun tak pernah tahu. Tapi ketika tahun 80-an pernah ada terkeluar dalam majalah gambar Wati tetapi semasa zaman itu tiada lagi keadaan viral dan orang mungkin ingat-ingat lupa,” cerita Awie ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Tambah Awie, “Wati” telah lama punya kehidupan sendiri dan hubungan mereka terhalang kerana tidak mendapat restu keluarga Wati.
“Wati sudah pun berkahwin dan punya keluarga sendiri. Saya mengenali adik beradiknya dan saya masih lagi berhubung dengan abangnya.
“Hubungan saya dengan keluarganya baik, cuma ketika itu mendapat halangan ibu bapa kerana dia masih menuntut di universiti,” katanya.
Perkara itu sekali gus mengiyakan desas-desus sebelum ini yang membuatkan filem itu mendapat kutipan box office di pawagam.
Menurut Ketua Kandungan Studio Astro, Syazwan Zakariah dan juga pengkritik filem, antara faktor utama orang mahu menonton filem tersebut adalah kerana publisiti mengenai filem itu berkisarkan kisah cinta sebenar Awie.
“Sebelum, filem itu memulakan pengambaran lagi, publisiti mengenai kisah cinta Awie bakal difilemkan telah pun mendapat perhatian ramai, ditambah dengan gabungan tiga nama besar industri hiburan ketika itu.
"Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain menjadi sebab utama mengapa filem Sembilu mendapat sambutan yang menggalakkan.”
Tambah Syazwan, kebolehan Pengarah terkenal Yusof Haslam juga harus dipuji dalam membimbing penyanyi-penyanyi terkenal menjadi pelakon.
“Pengalaman Yusof Haslam sebagai pelakon banyak membantu penyanyi-penyanyi ini menjadi pelakon. Beliau sebagai ‘actor’s director’, bukan sahaja tahu mengarah tetapi tahu juga teknik lakonan.
“Dalam masa yang sama nama Yusof Haslam juga sangat besar ketika itu kerana telah berjaya membawa Ella ke dalam dunia perfileman menerusi filem Pemburu Bayang dan Bayangan Maut, kerana itu Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yakin untuk berlakon di bawah arahan beliau.”
Pada Ahad, genap 25 tahun filem Sembilu ditayangkan kepada umum.
Biarpun sudah lama berlalu, jenama "Sembilu" tidak pernah lekang daripada ingatan peminat setia filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu.
Pertaruhan Skop Productions meletakkan barisan pelakon seperti Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain nyata berbaloi apabila filem itu mengutip pecah panggung sebanyak RM4.2 juta.
#Awie #Box Office #Di Ambang Wati #Erra Fazira #Sembilu #Sembilu25 #Skop Productions #Wati #Ziana Zain
;