25 tahun 'rehat', Scan harap tuah Pandang Pertama

Faida Rahim
Oktober 2, 2022 12:00 MYT
Finalis GV8 ini menolak untuk mempromosikan single Pandang Pertama dengan mengviralkan cara 'murah'. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Selepas 25 tahun ‘berehat’, kumpulan muzik rock Scan akhirnya tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Pandang Pertama.
Anggota Scan yang dianggotai oleh Azzan atau Noor Hazan Rashid (vokalis,) Ajoi (Astely Haronarasheed Zakaria, gitar basis), Mus (Mustafa Kamal Ahmad, gitaris) dan ApizLoko (Noor Haffizal Rashid, pemain drum) ketika ditemui Astro AWANI memaklumkan mereka kini sedia menghangatkan kembali industri muzik tempatan.
Kongsi Azzan, tempoh ‘berehat’ mereka sudah berakhir dan tiba masanya untuk kembali aktif dengan karya lebih indah selepas ini.
“Rancangan untuk buat kemunculan semula sepatutnya lebih awal tetapi akibat penularan Covid-19 dalam negara ketika itu, terpaksa kami pendam dan tangguh dahulu.
“Namun begitu selepas menyertai program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) tahun lalu, anggota Scan yang lain memahami situasi dan terpaksa kami tunggu waktu sesuai untuk lancarkan single baharu.
“Alhamdulillah ini waktu yang tepat untuk kami keluarkan lagu selepas lama ‘berehat’,” kata vokalis kumpulan Scan, Azzan yang terkenal dengan lagu Kau Dipaksa Aku Terpaksa.
Kongsi vokalis berusia 50 tahun ini, besar harapannya agar single Pandang Pertama diterima baik oleh para peminat yang menanti sekian lama.
“Dalam tempoh 25 tahun, kami membawa haluan berbeza. Rata-rata daripada kami memilih untuk fokus dalam kerjaya lain yang lebih menjamin. Kehidupan perlu diteruskan walaupun dalam hati kami membuak untuk aktif dalam bidang seni.
“Sepanjang tempoh itu juga ramai peminat yang bertanya bila nak keluar single baharu. Besar harapan saya agar peminat suka dengan melodi dan lirik Pandang Pertama, Insha Allah,” katanya mengakui hubungan sesama anggota kumpulan amat baik dan rapat sehingga kini.
Dalam masa sama, finalis GV8 ini menolak untuk mempromosikan single Pandang Pertama dengan mengviralkan cara ‘murah’.
“Mungkin ada yang memilih untuk cepat popular dengan buat sesuatu yang di luar jangkaan. Sebagai orang lama, saya percaya sesebuah karya yang baik tidak perlu dipopularkan dengan isu menjengkelkan untuk menarik perhatian masyarakat.
“Lagu yang baik dan berkualiti pasti akan mendapat tempat dan kekal menjadi selera pendengar sampai bila-bila,” ujarnya.
Menerusi kerjsama dengan MVM Music sebagai pengedar, muzik video Pandang Pertama yang merupakan ciptaan ApizLoko dan lirik ditulis oleh Azan dan Apiz kini boleh ditonton di saluran Youtube.
#Kumpulan Scan #kumpulan rock #Azzan Scan #Gegar Vaganza 8
;