20 Tahun Titanic: Pelakon 'extra' dibayar RM100 ribu, dan enam lagi fakta menarik
Madiha Abdullah
Januari 17, 2018 21:16 MYT
Januari 17, 2018 21:16 MYT
JIKA ada filem yang masih mengaut keuntungan selepas 20 tahun diterbitkan, salah satu filem itu ialah "Titanic".
Percaya atau tidak, filem lakonan Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet itu masih membuat kutipan sekurang-kurangnya £15,000 (hampir RM82,000) di United Kingdom sahaja, setiap tahun.
Sempena ulang tahun filem hebat ini, kami kongsikan beberapa perkara yang anda, peminat tegar "Titanic", tidak pernah tahu selama ini.
TAK ADA REZEKI
Watak kapten kapal Titanic, Kapten Smith, sepatutnya menjadi milik Robert de Niro. Namun de Niro mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menolak tawaran tersebut.
Pelakon Lindsay Lohan hampir menjadi sebahagian daripada keluarga besar "Titanic" kerana dia merupakan pilihan utama untuk melakonkan watak Cora Cartmell, sahabat cilik Jack Dawson, lakonan DiCaprio.
Namun cadangan untuk mengambil Lohan yang ketika itu berusia 9 tahun dibatalkan kerana warna rambutnya yang sama dengan watak Rose deWitt Bukater, lakonan Winslet.
WATAK TAMBAHAN, BAYARAN MEWAH!
Sukar untuk dipercayai, namun seorang lelaki Reece Thompson III, yang membawakan watak penumpang kanak-kanak tanpa nama dan hanya melontarkan satu baris dialog, mengakui menerima bayaran royalti £20,000 (RM109,223) yang membantunya menjelaskan yuran pengajian kolej dan membeli sebuah kereta.
"Jumlahnya memang banyak, dan ia membantu saya. Saya baru berusia lima tahun ketika itu dan pengalaman berlakon dalam Titanic sangat hebat," kata Thompson, kini 25 tahun, kepada majalah Cosmopolitan.
PENGARAH HEBAT, FILEM LUAR BIASA
Pengarah Titanic, James Cameron, menerima tiga anugerah peribadi di Anugerah Akademi menerusi hasil kerjanya dalam Titanic iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Suntingan Terbaik.
Untuk mendapatkan hasil terbaik, bukan satu perkara pelik apabila Winslet mendedahkan Cameron seorang pengarah yang tegas.
"Ada kalanya dia menakutkan saya. Baran dia boleh tahan juga, semuanya kerana dia mahu hasil yang terbaik," kata Winslet seperti yang dipetik daripada portal Daily Mail.
BUKAN CGI
Pernah terfikir bagaimana babak kapal Titanic di Lautan Atlantik dijalankan? Tentu ramai yang mengandaikan ia menggunakan teknik CGI, bukan?
Jika itu tanggapan anda, anda silap!
Untuk babak tersebut, produksi telah membeli sebuah tanah seluas 40 ekar di Mexico, di mana sebuah tangki sedalam 90 kaki dan mampu menampung 17 juta gelen air, dibina.
Airnya pula, diambil dari Lautan Pasifik, dan set penggambaran dipasang pada bicu hidraulik supaya ia boleh dimiringkan sehingga enam darjah, mirip ombak laut.
Bahagian depan kapal dipasang dengan satu mekanisme yang membolehkannya tenggelam 30 kaki sementara bahagian dek dapat dinaikkan sehingga 90 darjah, yang merupakan babak penting ketika Titanic tenggelam.
"Anda takkan jumpa lagi filem seperti ini. Jika kapal yang anda saksikan itu bersaiz 800 kaki, saiznya memang 800 kaki. Jika anda saksikan 500 orang pelakon tambahan berlari, memang 500 orang pelakon yang terlibat," kata pengarah fotografi Titanic, Russell Carpenter.
JATUH SAKIT DEMI ROSE
Winslet, yang enggan memakai sut khas untuk babak di lautan, mengalami hipotermia selepas selesai melakonkan babak itu.
Hipotermia merupakan satu keadaan di mana badan kehilangan haba lebih cepat daripada ia menghasilkan haba, menyebabkan suhu badan menjadi rendah.
"Saya mahu betul-betul menggigil kerana bimbang ia nampak tidak natural," itu alasan Winslet.
Babak itu dilakukan dalam tangki air sedalam 3 kaki dengan suhu 26 darjah Celsius, menyamai air kolam.
LAGU TEMA DIBENCI?
Siapa tidak tahu lagu "My Heart Will Go On" nyanyian Celine Dion? Ia diiktiraf sebagai Lagu Asal Terbaik di Anugerah Akademi, selain beberapa lagi trofi di Anugerah Grammy.
Cameron, seorang peminat muzik heavy metal, pada awalnya berikrar tidak akan memasukkan apa-apa jenis skor muzik yang 'lemau' dalam filem itu.
Namun selepas menerima tekanan dari produksi, dia akhirnya bersetuju untuk menerima lagu ciptaan James Horner dan Will Jennings itu sebagai lagu tema.
Cameron tidak keseorangan kerana Winslet pernah membuat pengakuan tidak pernah mendengar lagu itu dalam versi penuh, dan tidak akan sekali-kali melakukannya.
Dion, ketika diberitahu tentang apa yang dikatakan Winslet, berkata, "Untunglah dia tak perlu menyanyikan lagu itu!"
Ia sekali gus membayangkan yang Dion juga tidak menyukai lagu berkenaan.
11 OSCAR, DAN AS$2.4 BILION KEUNTUNGAN
Selepas 20 tahun, Titanic mencatat keuntungan kira-kira AS$2.4 bilion, antara yang tertinggi dalam sejarah perfileman. Ia menerima 14 pencalonan di Anugerah Akademi 1998, dan menang 11 daripadanya.
Ia satu rekod yang belum dapat dipecahkan. Setakat ini hanya dua filem yang menyamai rekod itu, iaitu Ben-Hur (1959) dan The Lord Of The Rings: The Return of the King (2003).
#filem
#Grammy
#hipotermia
#James Cameron
#Kate Winslet
#Leonardo DiCaprio
#My Heart Will Go On
#Oscar
#pelakon
#Titanic