18 kategori untuk AIM India yang pertama
Astro Awani
Oktober 2, 2013 11:15 MYT
Oktober 2, 2013 11:15 MYT
Seperti acara versi berbahasa Cina, ‘Anugerah Industri Muzik (AIM) Versi India’ diwujudkan untuk mengiktiraf penggiatnya ke tahap yang lebih tinggi.
Berlangsung pada 12 Oktober ini buat julung-julung kalinya, sebanyak 18 kategori dipertandingkan.
Pengasingan ‘AIM’ dari aspek bahasa adalah untuk memberi peluang sama rata kepada karyawan industri muzik Malaysia.
Sebanyak 450 pencalonan diterima untuk 18 kategori antaranya ‘Lagu Etnik Gana Terbaik’, ‘Lagu Kerohanian Terbaik’ dan ‘Anugerah Sri Wirama’.
Seramai 40 juri profesional turut dilantik untuk memilih pemenang.
Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, antara sebab utama ‘AIM India’ dianjurkan adalah untuk meningkatkan lagi pulangan serta memberi pendedahan kepada penggiat industri yang berbakat besar.
‘AIM India 2013’ bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dan ditayangkan menerusi saluran Astro Vaanavil pada bulan Disember nanti.