12 jam bertarung nyawa, anak saudara Yuna meninggal dunia akibat COVID-19
Asyraf Roslan
Mei 17, 2022 11:50 MYT
Mei 17, 2022 11:50 MYT
KETIKA umat Islam masih meraikan Syawal bersama keluarga dan sahabat, penyanyi terkenal Yuna berkongsi berita duka mengenai pemergian anak saudaranya Arisa Naura akibat COVID-19.
Khabar sedih itu dikongsikan sendiri oleh Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, 36, menerusi Instagram Story.
Menurut pelantun lagu "Terukir di Bintang" itu, arwah Arisa Naura yang berusia setahun lima bulan telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.
“Semalam hari yang amat sukar.
"Anak saudara saya Arisa Naura meninggal dunia di Hospital Klang akibat COVID-19 selepas bertarung nyawa selama 12 jam,” tulisnya di IG Story.
Yuna yang berada di Malaysia menzahirkan kesyukuran kerana berpeluang bertemu arwah buat kali terakhir pada minggu lalu.
Beliau turut menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas kehadiran Arisa Naura dalam keluarganya walaupun untuk tempoh yang singkat.