11 fakta tentang lagenda muzik, David Bowie
Madiha Abdullah
Januari 11, 2016 17:12 MYT
Januari 11, 2016 17:12 MYT
LAGENDA muzik antarabangsa, David Bowie, meninggal dunia hari ini pada usia 69 tahun.
Penghibur yang berasal dari London itu dilaporkan sudah lebih setahun menderita penyakit kanser.
Laman sosial dihujani ucapan takziah, malah ada di kalangan peminat seolah-olah masih tidak percaya penyanyi kesayangan mereka itu sudah tiada.
Rata-rata peminat dan media mengingati Bowie sebagai seorang lagenda muzik yang cukup dikagumi.
Di bawah adalah 10 fakta siapa David Bowie, khususnya bagi generasi baru yang tidak begitu mengenalinya.
1. Dilahirkan sebagai David Robert Jones pada 8 Januari 1947, Bowie berkongsi tarikh lahir dengan Elvis Presley.
2. Memilih nama Bowie sempena nama pisau 'bowie', sejenis pisau panjang dengan bilah berlapis.
3. Berkahwin kali pertama dengan Angela Barnett pada tahun 1970 dan bertahan selama sedekad.
4. Anak sulungnya, Duncan Zowie Haywood Jones atau lebih dikenali sebagai Duncan Jones, merupakan seorang pengarah filem.
5. Perkahwinan kedua Bowie adalah dengan peragawati terkemuka, Iman Mohamed Abdulmajid. Menariknya, pertemuan mereka diatur oleh seorang sahabat melalui blind date.
6. Bowie dan Iman berkahwin pada tahun 1992 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Alexandria Zahra Jones pada tahun 2000.
7. Sejenis labah-labah ditemui di Malaysia pada tahun 2009, dinamakan Heteropoda Davidbowie, sempena nama Bowie.
8. Bowie baru sahaja melancarkan album terbaharunya, Blackstar, Jumaat lalu, yang juga hari ulang tahunnya yang ke-69.
9. Kali terakhir Bowie membuat persembahan di khalayak ramai adalah di New York pada tahun 2006.
10. Memulakan karier muzik pada tahun 1969, nama Bowie mula memuncak sekitar tahun 1972 selepas kejayaan album The Rise and Fall of Ziggy Stardust and the Spiders From Mars.
11. Antara lagu hitnya adalah Let's Dance, Space Oddity, Heroes dan Under Pressure.