10 selebriti antarabangsa yang tidak menggunakan media sosial

Nizam Bakeri
Disember 14, 2015 13:58 MYT
Walaupun media sosial digunakan oleh selebriti untuk berinteraksi dengan para peminat, ada antara mereka yang tidak menggunakannya langsung.
KEPUTUSAN penyanyi Ed Sheeran untuk berehat daripada media sosial mengejutkan para peminat.
Namun ramai yang memahami keputusan tersebut dan memberikan sokongan di sosial media, walaupun sedar komen mereka mungkin tidak akan dibaca Sheeran.
Selain Sheeran, laman media sosial kerap digunakan para selebriti untuk mengumumkan perkembangan terkini dalam karier seni mereka atau berinteraksi dengan para peminat.
Tetapi terdapat beberapa bintang ternama yang memilih untuk tidak memiliki akaun media sosial langsung.
Masing-masing ada sebab tersendiri.
George Clooney
Dalam satu temu bual bersama Variety, pelakon berusia 54 tahun itu berkata: “Bayangkan anda ambil pil tidur kemudian bangun tidur dengan ayat-ayat yang tidak masuk akal. Sangat tak sesuai. Saya mungkin ucap sesuatu yang bodoh dan saya juga tak mahu terlalu terdedah.”
Persoalannya, apa yang Clooney benar-benar risau akan terlepas daripada mulutnya?
Kristen Stewart
Aktres francais popular Twilight ini sudah beberapa kali meluahkan rasa tidak puas hati terhadap media sosial.
Stewart terkenal sebagai selebriti yang tidak gemar menerima perhatian umum dan dalam satu temu bual bersama Flaunt, beliau mengesahkan kebenciannya terhadap media sosial.
“Twitter merosakkan hidup saya setiap hari. Ada orang akan cakap ‘saya sedang duduk di sebelah Kristen Stewart sekarang’ kemudian paparazzi pun sampai.
"Saya sangat marah. Kamu seolah-olah tak peduli mengganggu hidup orang lain. Dan ini berleluasa.
"Semua orang boleh buat sekarang. Beli kamera dan jadi paparazzi. Buat akaun Twitter dan kamu jadi wartawan,” ujar Stewart.
Scarlett Johansson
Pelakon yang baru menimang cahaya mata ini berkata beliau tidak mahu berkongsi butiran tentang kehidupan seharian bersama peminat.
Jika pelakon The Avengers ini fikir Twitter dicipta untuk tujuan tersebut, elok juga dia tidak mempunyai akaun media sosial. Jika tidak, suapan media sosial kita akan dibanjiri kemas kini milik Johansson.
Jennifer Lawrence
Selepas foto peribadi beliau digodam dan disebar, sesiapa pun mampu memahami keputusan J-Law untuk tidak memiliki akaun Twitter mahupun Instagram.
Pemenang Academy Awards ini secara umumnya berhati-hati dengan Internet.
“Saya tidak akan faham Twitter. Saya tidak mahir dengan telefon dan teknologi. Emel pun saya tak mampu kejar, kalau Twitter saya lagi tak mampu fikir.
"Kalau kamu ada nampak akaun Facebook, Instagram, atau Twitter saya, itu bukan saya punya,” jelas Lawrence kepada Nick Grimshaw, hos Radio 1 BBC.
Julia Roberts
Aktres jelita berusia 47 tahun ini tidak menggunakan Twitter kerana tidak ada ‘hubungan manusiawi’ yang terlibat.
Dalam temu bual media untuk promosi filem August: Osage County, beliau memberitahu, “Saya rasa unsur bersemuka tidak ada dalam Twitter.”
Bradley Cooper
Pelakon kacak ini menganggap Twitter akan mempengaruhi cara peminat memandang beliau.
Dalam temu ramah bersama majalah OK! beliau memberitahu, “Ini (Twitter) satu cara yang baik untuk mempromosi idea dan projek. Saya suka cara lama.
"Kalau saya terlalu kenal kamu dan kamu berlakon satu watak, saya pasti susah untuk melupakan siapa kamu yang saya kenal dan yakin dengan watak kamu.”
Brangelina
Melakonkan sendiri aksi lasak, mengarah filem, mengambil anak angkat dari seluruh dunia — semua ini buat kita terfikir apakah yang tidak mampu dilakukan oleh pasangan sensasi ini?
Rupa-rupanya mereka berdua tidak terlibat dengan media sosial kerana cabaran teknologi.
Rachel McAdams
Ratu komedi-romantik The Notebook dan The Time Traveler’s Wife ini mengakui beliau tidak tahu apa-apa tentang Twitter malah beliau juga tidak mempunyai televisyen.
Beliau, walau bagaimanapun, baru-baru ini telah mewujudkan akaun Instagram. Mungkin bagi McAdams, berkongsi foto lebih mudah berbanding kata-kata.
Mila Kunis
Perwatakan ceria dan petah aktres ini pasti membuat para peminat terfikir bahawa beliau mempunyai sesuatu untuk dikongsi di Twitter namun Kunis juga telah menyertai ‘fahaman’ anti media sosial.
Pelakon yang fasih berbahasa Russia ini tidak mahu berkongsi aktiviti harian beliau di khalayak ramai, pendapat yang senada dengan Johansson.
Kiera Knightley
Pada tahun 2009, aktres filem The Imitation Game ini pernah menyatakan, “Saya tidak suka Internet. Saya rasa hilang sifat manusia apabila selalu sangat menyemak e-mel atau laman media sosial.”
Sehingga kini, pandangan beliau masih belum berubah.
Mary-Kate & Ashley Olsen
Kedua-dua mantan pelakon cilik yang menjadi usahawan berjaya ini tidak mempunyai akaun media sosial peribadi.
Pun begitu, jenama fesyen mereka The Row dan Elizabeth & James mempunyai akaun media sosial untuk tujuan komersial.
Ashley memberitahu Style pada tahun 2011, “Ini (media sosial) akan merisaukan saya,” yang disokong oleh kembarnya Mary-kate.
“Kami dah habiskan hidup kami supaya tidak diakses orang lain, jadi ini (media sosial) berlawanan dengan apa yang kami sudah buat untuk tidak menonjol dalam khalayak umum.
#Facebook #media sosial #Twitter