Peniaga disaran serap kos GST untuk mudahkan pelaksanaan - FOMCA
Astro Awani
Mac 31, 2015 09:03 MYT
Mac 31, 2015 09:03 MYT
Setiausaha-Agung Kumpulan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj menyambut baik penyerapan kos enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang diamalkan oleh syarikat pasar raya Mydin.
Penyerapan kos oleh para peniaga katanya akan memudahkan pelaksanaan sistem GST.
“Serapkan kos untuk memudahkan pelaksanaan. Pengguna akan mempunyai satu harga sahaja.
“Lebih banyak pasar raya perlu mengamalkannya,” kata Paul apabila ditanya Astro AWANI tentang pandangannya tentang apa yang boleh diteladani daripada syarikat Mydin.
Sementara itu, apabila ditanya tentang ‘panic buying’ dalam kalangan masyarakat beliau berkata ia adalah satu fenomena biasa di mana-mana negara sebelum pelaksanaan GST.
Paul menasihati masyarakat agar merujuk buku panduan pengguna untuk menyemak harga barangan sama ada sesuatu harga barang itu ada mengalami peningkatan atau tidak selepas pelaksanaan sistem GST.
Tambah Paul, maklumat dalam buku itu juga perlu disebarkan untuk pengetahuan masyarakat agar mereka lebih memahami impak GST.