Pengecualian GST keperluan asas legakan golongan pekerja : Zainal
Bernama
Oktober 11, 2014 15:54 MYT
Oktober 11, 2014 15:54 MYT
Kerajaan dicadang supaya melabelkan barangan yang diberi pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk mengelak golongan pekerja daripada teraniaya dan diperdaya peniaga.
Bekas presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Tan Sri Zainal Rampak berkata kerajaan harus mengarah peniaga supaya melekatkan tanda tertentu bagi menunjukkan barangan yang tidak dikenakan GST itu.
“Saya mencadangkan agar barangan terutamanya keperluan harian yang tidak dikenakan GST itu ditandakan atau dilekatkan pelekat warna berbeza. Maka rakyat biasa dan golongan pekerja tahu bahawa barang ini tidak dikenakan GST,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Katanya langkah kerajaan mengecualikan GST untuk barangan keperluan dan perkhidmatan asas melegakan kebimbangan warga pekerja.
Beliau berkata langkah itu sekali gus meyakinkan warga pekerja dan golongan berpendapatan rendah bahawa pelaksanaan GST tidak membebankan mereka.
“Sebelum Bajet (2015), golongan pekerja ingin tahu adakah GST ini merupakan sesuatu yang menyusahkan mereka. Nampaknya perdana menteri meyakinkan mereka bahawa ia tidak akan menyusahkan dan sentiasa dipantau oleh pihak penguat kuasa supaya penjual tidak mengambil kesempatan,” katanya.
Dalam pembentangan Bajet 2015 kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersetuju meluaskan skop barangan yang tidak dikenakan GST.
Sistem percukaian baharu itu akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan dan antara yang dikecualikan GST adalah diesel, gas petroleum cecair, semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport, roti putih dan roti tepung gandum penuh, serbuk kopi dan teh, mi kuning, laksa dan bihun.
Selain itu, kerajaan juga memberi pengecualian GST kepada ubat-ubatan penting meliputi hampir 2,900 jenama bagi kegunaan 30 jenis penyakit, bahan bacaan dan surat khabar.