Pasar raya digalak wujudkan perang harga - Ahmad Maslan

Harits Asyraf Hasnan
April 1, 2015 21:40 MYT
Ahmad Maslan meletakkan anggaran tempoh tiga ke empat bulan untuk memastikan isu berkaitan GST kembali stabil. - Gambar Fail
Pengusaha pasar raya disarankan mengamalkan konsep perang harga bagi memastikan mereka terus kompetitif dalam pasaran.
Berikutan pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ada pasar raya yang menawarkan pelbagai promosi dalam usaha mengatasi masalah persaingan harga.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, persaingan yang wujud bakal memberi impak positif kepada masyarakat.
“Apabila ada satu pasar raya mula menjadi pencetus trend dalam peperangan harga maka tentu pasar raya lain akan lakukan susuatu untuk atasi persaingan.
Klik untuk segala berita mengenai GST
“Kalau tidak, mereka tidak boleh bertahan dalam persaingan ini,” ujar Ahmad Maslan yang menyeru pengguna agar bijak membuat pembelian terutama dalam melakukan perbandingan harga.
Ahmad Maslan sebelum itu melakukan tinjauan harga di pasar raya Tesco Extra Shah Alam.
Dalam perkembangan berbeza, Ahmad Maslan meletakkan anggaran tempoh tiga ke empat bulan untuk memastikan isu berkaitan GST kembali stabil.
Bagaimanpun, tempoh matang itu diletakkan sebagai indeks prestasi utama (KPI) untuk dirinya.
“Aduan berkurangan, pengguna mula memahami, tiada pembelian secara panik dan tiada resit tulis tangan. Semua saya harap akan selesai dalam tempoh tiga hingga empat bulan tapi itu KPI diri saya. Realitinya adalah tujuh hingga lapan bulan,” ujar Ahmad Maslan.
#Ahmad Maslan #GST #harga #pasar raya
;