Negara mulakan sistem percukaian baharu menerusi GST

Astro Awani
April 1, 2015 08:07 MYT
Malaysia hari ini secara rasmi menjadi negara kelapan dalam kalangan 10 anggota ASEAN dan yang ke-169 di dunia melaksanakan GST.
Malaysia hari ini secara rasmi menjadi negara kelapan dalam kalangan 10 anggota ASEAN dan yang ke-169 di dunia melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Dalam usaha menuju sistem percukaian yang lebih adil dan efisien, GST yang berkadar enam peratus itu menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus yang diguna pakai selama ini.
GST akan menggantikan Cukai Jualan (10%) dan Cukai Perkhidmatan (6%) di Malaysia. Ia merupakan satu daripada langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menambah baik sistem kewangan negara serta mencari sumber pendapatan yang baru dengan meningkatkan kecekapan pungutan cukai.
Dengan pelaksanaan GST, kerajaan menyasarkan untuk memperoleh kira-kira RM23.1 bilion.
Pendapatan ini akan dijana untuk menampung kos pembangunan negara sebanyak RM49.5 bilion yang akan disalurkan kepada pelaburan infrastruktur.
Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membaik pulih sistem kewangan kita, GST akan membantu kita mencapai matlamat ekonomi negara.
Klik di pautan ini untuk mengetahui perbezaan antara GST dan SST
Klik di pautan ini untuk mengetahui faedah GST kepada pemilik perniagaan
Adil, telus, berkesan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberi jaminan bahawa GST adalah satu cukai yang bersifat adil, telus dan berkesan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata berbanding SST sebelum ini, pengguna kini dapat mengetahui jenis cukai yang dibayar serta jumlahnya melalui GST.
Bagaimanapun, sistem cukai kepenggunaan akan digantikan dengan sistem yang lebih baik.
"Kita memang dah terbiasa dengan cukai kepenggunaan secara sedar atau tidak sedar. Tetapi rasanya ramai orang tidak sedar kita sudah ada cukai kepengunaan.
"Jadi apabila GST dilaksanakan, ia lebih telus, orang tahu sekarang perbelanjaan kita adalah tertakluk kepada cukai kepengunaan sedangkan sebelum ini orang tidak tahu pun dia bayar cukai," kata Khazali.
Panik itu lumrah
Setiausaha Agung Kumpulan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj menyambut baik penyerapan kos enam peratus GST seperti yang diamalkan oleh syarikat pasar raya Mydin.
“Serapan kos oleh peniaga akan memudahkan pelaksanaannya. Pengguna akan mempunyai satu harga sahaja. Lebih banyak pasar raya perlu mengamalkannya,” kata Paul apabila ditanya Astro AWANI tentang pandangannya tentang perkara yang boleh diteladani daripada syarikat seperti Mydin.
Sementara itu, apabila ditanya tentang ‘panic buying’ dalam kalangan masyarakat beliau berkata ia adalah satu fenomena biasa di mana-mana negara sebelum pelaksanaan GST.
1,600 Pegawai Pemantau
Dalam pada itu, Jabatan Kastam menambah 1,600 pegawai baharu bagi memantau pelaksanaan GST supaya lebih telus.
Kerajaan telah memutuskan untuk menambah jawatan dan separuh daripadanya telah diambil dan pihak Kastam masih lagi dalam proses pengambilan pegawai.
Masih Musykil?
Bagi membantu pengguna menyemak senarai barangan yang tidak dikenakan atau dikenakan GST, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menerbitkan buku panduan harga pengguna mengikut zon.
Enam buku panduan itu mengandungi senarai harga barang yang turun, kekal dan naik susulan pelaksanaan GST. Ia boleh diperolehi secara percuma di ibu pejabat dan di pejabat KPDNKK setiap negeri atau memuat turun dari laman web http://ebook.kpdnkk.gov.my.
Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga boleh dihubungi di talian hotline 1-300-888-500 atau 03-888 2211.
Senarai premis perniagaan yang berdaftar dengan sistem GST boleh dibuat di laman web
http://gstmalaysiainfo.com/bagaimana-cara-untuk-menyemak-status-gst.
Sebarang aduan pula boleh dibuat melalui hotline Jabatan Kastam atau di laman web http://aduan.customs.gov.my atau kepada KPDNKK di talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6245 dan 03-8882 6088.
Adakah anda sudah bersedia? Maklumkan kepada kami bagaimana GST memberi impak kepada anda menerusi kempen #CabaranGST.
ARTIKEL BERKAITAN:
Perbezaan antara GST dan SST
Lapor salah laku peniaga menerusi 'EZ Complaint'
Warga kota tampil dengan formula kawal perbelanjaan
#1 April #GST #kastam #Malaysia
;