GST: Warga kota tampil dengan formula kawal perbelanjaan
Syafique Shuib
Mac 28, 2015 21:26 MYT
Mac 28, 2015 21:26 MYT
Ramai mungkin akan mengeluh dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April nanti.
Antara yang akan membebankan rakyat adalah kos barangan keperluan harian. Walaupun ada yang tidak akan dikenakan GST, namun makanan yang diproses, makanan dalam tin, produk kecantikan seperti shampoo, ubat gigi dan peralatan dapur akan dikenakan GST.
Menerusi tinjuan Astro AWANI di sebuat pasar raya terkemuka di ibu kota, ramai yang risau dengan pelaksanaan GST. Namun secara positifnya semua perlu bijak dan menguruskan kewangan mereka.
Sebagai contoh, seorang pegawai bank yang ditemui tampil dengan formulanya tersendiri.
Noor Mohamed akan kurangkan perbelanjaan sebanyak 6 peratus. -Gambar: Astro AWANI/Shahir Omar
Noor Mohamed, 39, berbelanja lebih kurang RM1,500 sebulan untuk barangan keperluan harian.
“Daripada itu, saya rasa RM750 adalah barang yang akan dikenakan GST seperti makanan ringan atau makan di luar. Jadi saya akan kurangkan perbelanjaan 6 peratus dari itu untuk menampung kos GST 6 peratus.
“Makanan ringan tak penting pun. Saya sudah didik anak saya, kalau ada ada, kalau tidak ada, tidak mengapa. Sama juga makan di luar. Selepas ini saya akan kurangkan makan di luar,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, pengguna harus belanja apa yang perlu sahaja.
"Dulu kita mungkin boleh seronok-seronok beli itu ini, namun kita perlu beretika ketika membeli belah.
"Daripada kita bising-bising tentang GST, lebih baik kita uruskan kewangan kita dengan bijak," kata Noor Mohamed.
Siti Yahya mahukan lebih banyak promosi agar pengguna dapat berjimat. -Gambar: Astro AWANI/Shahir Omar
Formula Siti Yahya, 49, pula adalah agar pengguna peka dengan promosi yang ditawarkan pasar raya.
“Dengan adanya lebih promosi, ramai akan beli kerana ia menjimatkan dan berbaloi. Ia juga akan manfaat kepada pengeluar produk dan juga kedai atau pasar raya itu sendiri kerana ramai pelanggan akan tertarik dengan promosi mereka,” katanya.
Walaupun akan terjejas dengan GST namun Siti berpendapat bahawa semua harus pandai menguruskan kewangan mereka.
“Semua ini di minda. Sebagai pengguna kita perlu bijak dan tahu di pasar raya mana yang akan menawarkan harga yang berpatutan. Kadang-kadang sebagai seorang ibu, kita sudah tahu jenama apa yang adakan promosi dan di mana kami akan beli.
"Contohnya, di Mid Valley tadi ada promosi lampin pakai buang (pampers) bayi. Namun oleh kerana keadaan begitu sesak, saya tidak pergi. Jadi ibu bapa perlu peka dengan promosi yang ada dan penjual harus mengadakan lebih banyak promosi, ” katanya.
Len Mee Keong (kanan) masih keliru dengan GST. -Gambar: Astro AWANI/Shahir Omar
Seorang broker, Len Mee Keong, 55, berkata pengguna akan terus membeli namun mereka perlu tahu di mana harga yang lebih murah.
“Ini semua adalah barang keperluan. Tetapi kita harus beli kan? Jadi kita kena tahu di mana tempat yang lebih murah.
“Cuma saya masih keliru dengan GST. Barang apa yang akan dikenakan GST dan barang apa yang tidak dikenakan GST,” jelasnya.
Siti Norhaya berkata barang keperluan harian harus terus dibeli. -Gambar: Astro AWANI/Shahir Omar
Siti Norhaya Yahya, 50, turut mempunyai pandangan yang sama.
“Risau itu, risaulah juga. Tetapi kita kenalah beli jugak. Takkan tidak perlu shampoo, ubat gigi dan sebagainya.
“Kita perlu buat kaji selidik dan saya datang ke sini daripada pasar raya berbeza kerana harga di sini lebih murah,” jelas Siti Norhaya.
Anna Har, 44, seorang penggiat seni akui akan kurangkan perbelanjaannya.
“Saya gemar makanan tin seperti sardin tetapi selepas ini saya harus kurangkan pembelian itu. Susah untuk saya komen kerana saya belum faham GST sepenuhnya.
“Kelas pertengahan yang akan merasakan beban ini kerana mereka yang membeli. Saya masih tidak faham dengan GST,” katanya.
GST akan dilaksanakan pada 1 April. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang GST, layari laman web gst.astroawani.com.