GST: Orang ramai mula ubah cara hidup, atur strategi berbelanja
Azyyati Ahmad
April 3, 2015 17:27 MYT
April 3, 2015 17:27 MYT
Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April lalu sememangnya mengundang keresahan dan kebimbangan orang ramai.
Namun tinjauan Astro AWANI pada hari ketiga pelaksanaannya mendapati bahawa ramai yang sudah mula mengubah cara hidup dan mengatur strategi berbelanja keperluan harian.
Ada yang akan sudah mengumpul tabiat baharu menyimpan resit pada setiap pembelian bagi memudahkan semakan semula serta ada yang mula mengintai pasaraya manakah yang menawarkan harga 'mesra poket'.
Tidak kurang juga ada yang mengurangkan pembelian ke atas barangan yang dianggap kurang penting.
Bagi Pelukis Pelan Muhd Hashim Abdul Aziz, 50, strateginya buat masa ini adalah dia akan sentiasa menyimpan dan menyemak resit perbelanjaan setiap kali berbelanja.
“Saya sudah mula membeli barang keperluan semalam. Selain beli apa yang perlu, saya akan simpan resit perbelanjaan. Ini adalah bagi memastikan kiraan itu betul dari peniaga.
“Mungkin kerajaan punya matlamat sendiri mengapa GST dilaksanakan dalam negara. Sebagai pengguna saya takut peniaga yang tidak berdaftar turut mengenakan GST dan mengambil kesempatan ke atas pengguna. Sebab itu penting untuk kita simpan resit dan selalu semak semula,” katanya.
Manakala bagi penjawat awam Meor Rusdi Yusof, 42, strateginya adalah mengutamakan pembelian ke atas barangan yang perlu sahaja , dia juga mengurangkan pembelian ke atas barang tertentu.
“Saya ke pasaraya NSK semalam untuk membeli barang dapur. Harga tidak jauh berbeza. Ada harga barangan yang naik, ada yang turun dan untuk barang terkawal masih pada harga yang sama.
"Kita sudah kena tukar cara berbelanja. Apa yang saya lakukan adalah dengan membeli barang yang perlu sahaja.... yang kurang perlu, saya masih beli tetapi dalam kuantiti yang sedikit dari sebelum ini. Bermakna saya kurangkan pembeliannya,” katanya.
Lain pula dengan penjawat awam Johari Abdullah, 40, yang sudah berbelanja barang keperluan sebelum perlaksanaan GST berkata selepas ini dia akan bertukar pasaraya dan berbelanja di tempat yang menawarkan harga yang murah dan berpatutan.
“Itu adalah strategi saya untuk perbelanjaan bulan ini iaitu berbelanja sebelum GST. Namun untuk bulan depan rasanya tidak boleh elak lagi.
“Selepas ini apa yang saya akan lakukan adalah meninjau mana-mana pasaraya yang menjanjikan dan menawarkan harga murah dan berpatutan bagi menjamin perbelanjaan yang lebih berkesan dengan keadaan ekonomi sekarang,” katanya.