GST: Berpada-pada ketika 'memborong' pada saat akhir - FOMCA
Haider Yutim
Mac 29, 2015 19:30 MYT
Mac 29, 2015 19:30 MYT
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menasihatkan pengguna agar lebih berpada-pada ketika 'memborong' barang menjelang pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST).
Menurut Setiausaha-Agung FOMCA, Datuk Paul Selvaraj, tabiat para pengguna memborong melebihi keperluan menyumbang kepada pembaziran berbanding penjimatan.
"Jadi lah pengguna yang bertanggungjawab dengan berbelanja mengikut keperluan dan jangan ada pembaziran. Belanja lah dengan berhemah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Paul mengulas mengenai tindakan pengguna yang berlumba membeli-belah serta mengumpul stok pada saat akhir sebelum pelaksanaan GST pada 1 April nanti.
Malah, menurut laporan, terdapat beberapa pasaraya yang telah kehabisan stok barangan tertentu akibat serbuan mengejut tersebut.
Kata Paul, fenomena itu adalah perkara biasa bagi negara-negara yang bakal melaksanakan GST dan ianya merupakan langkah pengguna untuk mengurangkan kesan seandainya berlaku kenaikan akibat cukai tersebut.
Namun, katanya sama ada tindakan itu menjimatkan atau tidak, bergantung kepada kenaikan barang yang terlibat selepas pelaksanaan GST nanti.
Sementara itu, bekas timbalan presiden FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah turut menyifatkan tindakan pengguna itu perkara biasa setiap kali dijangka berlaku kenaikan barang.
"Ini memang fenomena biasa di mana-mana pun... semua cuba sedaya mana untuk membeli barangan keperluan, ini perkara biasa seperti juga semasa kenaikan petrol.
"Cuma pihak berkuasa harus pastikan supaya tidak berlaku keadaan tidak diingini seperti berebut dan sebagainya," kata beliau yang kini Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Pusat Khidmat Aduan Pelanggan Nasional (NCCC) kepada Astro AWANI.
Bagaimanapun beliau menyarankan pengguna supaya tidak memborong terlalu banyak barangan melainkan mereka mempunyai tempat yang sesuai untuk disimpan.
Katanya ini untuk mengelakkan barangan seperti makanan menjadi busuk ataupun tidak elok sebelum sempat dimakan.
Namun kata Shaani, jika tindakan para pengguna itu betul-betul dapat menjimatkan, ia sesuatu yang bagus.
Menjelang pelaksanaan GST, ramai pengguna menjadi risau dengan kenaikan barang yang dijangka berlaku sehingga ada yang bertindak bergegas memborong barang di saat akhir bagi mengurangkan kesan kenaikan tersebut.
Meskipun begitu, Shaani berkata kesan penjimatan diperolehi pengguna itu hanya lah untuk jangka masa pendek sahaja.