GST: Beban cukai golongan berpendapatan rendah kurang

Bernama
April 1, 2015 08:38 MYT
Pelaksanaan GST itu juga tidak akan mengurangkan kuasa membeli rakyat kerana sebahagian besar barang makanan asas dan perkhidmatan kritikal kepada rakyat tidak dikenakan GST. - Gambar fail
Bebanan cukai kepada golongan berpendapatan rendah adalah kurang berbanding golongan berpendapatan tinggi susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai hari ini.
Ini bermakna orang kaya membayar cukai yang lebih berbanding orang susah berdasarkan model GST negara ini yang bersifat progresif dan bukannya regresif.
Pelaksanaan GST itu juga tidak akan mengurangkan kuasa membeli rakyat kerana sebahagian besar barang makanan asas dan perkhidmatan kritikal kepada rakyat tidak dikenakan GST.
GST pada kadar enam peratus adalah bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan berjumlah 16 peratus.
Oleh kerana peniaga berdaftar layak untuk menuntut balik cukai input yang dibayar, ia sepatutnya dapat mengurangkan kos dalam menjalankan perniagan dan mengimbangi harga barang dan perkhidmatan di pasaran.
Selain itu, bagi meringankan tanggungan cukai dengan pelaksaan GST, kerajaan telah memperuntukkan penambahan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.
Kerajaan juga telah memberi rebat cukai pendapatan sebanyak satu peratus hingga tiga peratus kepada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.
Usaha itu akan meningkatkan kuasa membeli rakyat.
#cukai #cukai progresif #GST #jualan #kuasa membeli #pendapatan rendah #perkhidmatan
;