Empat ribu pegawai Kastam dan KPDNKK sertai Operasi GST

Sathesh Raj
April 1, 2015 18:15 MYT
Pengarah Bahagian GST, Subromaniam Tholasy semasa operasi GST pada hari pertama pelaksanaan GST di Restoran Pelita.-SATHESH RAJ/Astro AWANI
Lebih empat ribu pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah digerakkan bagi membantu pelaksanaan Operasi Pematuhan Harga dan Pencatutan di seluruh negara yang bermula hari ini.
Operasi ini bertujuan untuk memantau peniaga-peniaga yang sudah berdaftar bawah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Juga sama ada mereka sudah mula mengenakan GST ke atas jualan dan pematuhan mereka terhadap perundangan GST dalam pengeluaran invoice dan resit.
“KPDNKK juga akan melihat trend harga sama ada harga barang mengalami kenaikan yang mendadak atau sebagainya,” kata Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy.
Belia berkata berdasarkan tinjauan terhadap peniaga, tiada sebarang kekecohan daripada pembeli dan kesemuanya membayar seperti harga yang tertera.
Apabila ditanya tentang jenis tindakan yang akan dikenakan ke atas mereka yang tidak mematuhi perundangan GST, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan alasan yang diberikan.
“Pendekatan kita ialah sekiranya mereka ada alasan yang munasabah kita masih memberikan nasihat.
“Mungkin selepas tengah malam tadi, mereka tidak dapat menukar sistem POS (Point of Sales) mereka lagi, mungkin memerlukan beberapa jam untuk menghidupkan mod GST,” kata beliau.
Operasi ini akan berterusan sehingga 15 April bulan ini.
Sementara itu seramai 12 pegawai dari Jabatan Kastam turun padang hari ini dalam operasi meninjau pelaksanaan GST di sekitar kawasan Puchong.
Selain Subromaniam, turut hadir dalam operasi itu adalah Timbalan Pengarah Divisyen GST Jabatan Kastam, Ahmad Maher Abdul Jalil dan Teh Kheng Ean.
#Ahmad Maher Abdul Jalil #GST #kastam #KPDNKK #Subromaniam Tholasy #Teh Kheng Ean
;