Zoo China didakwa guna manusia menyamar beruang matahari
Sinar Harian
Ogos 2, 2023 10:00 MYT
Ogos 2, 2023 10:00 MYT
BEIJING: Sebuah zoo di China menafikan beruang matahari dikurung dalam kandang adalah manusia yang memakai sut haiwan itu.
Sebelum ini, netizen mencetuskan kontroversi dalam media sosial yang mendakwa beruang dalam zoo tersebut bukan haiwan sebenar tetapi manusia.
Gambar beruang matahari yang berasal dari Asia Tenggara berjaya dirakamkan sedang berdiri tegak seperti manusia sehingga menimbulkan keraguan pengunjung zoo tersebut.
Sebenarnya, beruang jarang dilihat boleh berdiri, namun haiwan itu mampu berbuat demikian sekiranya hendak mendapatkan pandangan lebih jelas.
Namun, beberapa netizen mempersoalkan sama ada haiwan itu sebenarnya seorang pekerja zoo yang menyamar.
Untuk menepis dakwaan itu, Zoo Hangzhou di wilayah Zhejiang berkata, beruang matahari itu berasal dari Malaysia dan ia boleh berdiri seperti manusia selain mempunyai saiz kecil berbanding beruang biasa.
Demi menyakinkan netizen, zoo tersebut membawa wartawan melawat beruang itu secara dekat bagi menyakinkan bahawa haiwan itu adalah asli bukan penyamar.
Difahamkan ini bukan kali pertama zoo di China dilanda kontroversi sama. Sebelum ini terdapat tuduhan lain seperti anjing dicat mirip serigala atau kucing Afrika dan keldai dicat menyerupai kuda belang. - Sinar Harian memetik agensi