Zimbabwe siasat kematian 22 gajah

Bernama
September 3, 2020 06:40 MYT
Doktor haiwan mengambil sampel dari gajah mati yang ditemui di Taman Negara Hwange, Zimbabwe, 29 Ogos 2020. (Foto AP)
Pihak berkuasa Zimbabwe sedang menyiasat kematian misteri 22 gajah di Hutan Pandamasue, yang terletak di antara Taman Negara Hwange dan Air Terjun Victoria, lapor Agensi Anadolu.
Kumpulan pertama 11 gajah ditemukan mati pada Jumaat lalu dengan gadingnya masih kekal yang mengesahkan ia bukan pemburuan haram, kata pegawai taman dan hidupan liar.
Jumlah gajah yang mati meningkat kepada 22 ekor dari Ahad hingga Selasa dan penyebab kematian masih misteri.
"Kami telah mengambil sampel untuk diuji di makmal khas di Air Terjun Victoria dan kami masih menunggu keputusannya.
"Hasil ujian setakat ini, menunjukkan ia bukan pemburuan haram, keracunan sianida atau jangkitan kuman antraks,” Tinashe Farawo, jurucakap Taman Negara Zimbabwe dan Pihak Berkuasa Pengurusan Hidupan Liar memberitahu agensi Anadolu.
Farawo menambah, yang mati setakat ini adalah gajah muda dan lemah, apa sahaja boleh membunuh gajah-gajah ini termasuk tumbuhan beracun.
"Disebabkan makanan semakin sukar didapati, gajah-gajah ini akan memakan apa sahaja."
Sumber di taman hidupan liar itu membayangkan pihak berkuasa bimbang sekiranya punca kematian diumum; pemburu haram akan mengambil kesempatan dan membunuh lebih banyak haiwan itu.
Sementara saintis bebas yang tidak mahu namanya disiarkan berkata kematian gajah-gajah itu berkemungkinan disebabkan termakan tumbuhan beracun.
Sebagai usaha untuk menangani kemungkinan jangkitan wabak, pegawai taman dan hidupan liar kini memutuskan untuk membakar bangkai bersama gadingnya, kata Farawo.
Kematian misteri gajah di Zimbabwe mungkin sama dengan kematian 275 ekor gajah di Botswana.
Pemburuan haram, keracunan dan antraks juga bukan menjadi punca kematian gajah di pusat perlindungan Delta Okavango di Bostwana itu.
-- BERNAMA
#Air Terjun Victoria #antraks #bunuh #gading #gajah #hidupan liar #Hutan Pandamasue #jangkitan kuman #keracunan #mati #pemburu haram #pihak berkuasa #sampel #sianida #Taman Negara #Tinashe Farawo #tumbuhan beracun #Zimbabwe
;