Zimbabwe berdepan krisis air bersih seiring ancaman penularan COVID-19
Agensi
Mei 14, 2020 21:26 MYT
Mei 14, 2020 21:26 MYT
Selain berdepan krisis kebuluran di sebalik penyebaran COVID-19, penduduk di Zimbabwe juga terpaksa mengharungi krisis bekalan air bersih dalam menjalani rutin seharian.
Kira-kira 500,000 penduduk terpaksa berjimat cermat menggunakan bekalan air dalam mematuhi langkah-lagkah pencegahan COVID-19 seperti mencuci tangan secara berkala.
Dalam suasana yang serba daif, isu kekurangan zat makanan dan bekalan air bersih menjadi cabaran besar bagi penduduk di negara berpopulasi hampir 15 juta orang itu.
Menurut penduduk tempatan, selain berjaga-jaga terhadap jangkitan COVID-19, mereka juga terpaksa berdepan dengan kelaparan dan akses air.
"Kebuluran melanda kami terutamanya pada masa penularan COVID-19 - kita boleh mati kerana kekurangan zat makanan dan COVID-19. Jadi kami juga memerlukan makanan," katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, Afrika yang sehingga kini mencatat jumlah jangkitan rendah, boleh menjadi pusat penularan virus berikutnya dan mengakibatkan 300,000 orang maut.